Mahkamah Paris kekalkan penangguhan anugerah terhadap waris Sulu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan penangguhan yang diberikan kepada Malaysia terhadap penguatkuasaan final award kepada kumpulan yang mendakwa waris Sultan Sulu.

Sekretariat khas kerajaan yang mengendalikan isu berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan, mahkamah tersebut memutuskan bahawa cabaran waris kumpulan Sulu terhadap perintah penangguhan itu, tidak boleh diterima.

"Oleh itu, penangguhan yang diperoleh Malaysia pada 12 Julai 2022, untuk penguatkuasaan final award itu, kekal,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Malaysia menegaskan perintah penangguhan yang diberikan pada 12 Julai 2022 merupakan satu keputusan yang luar biasa dan ia berfungsi untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia bahawa timbang tara komersial yang dikemukakan kumpulan Sulu itu tidak mempunyai asas yang sah dan menjejaskan kedaulatan wilayah Malaysia.

"Malaysia akan terus mempertahankan diri melalui semua saluran perundangan bagi mengatasi semua bentuk tuntutan undang-undang yang dikemuka mana-mana kumpulan penentang," menurut kenyataan itu.

Pada 15 April 2022, Malaysia memfailkan permohonan penangguhan terhadap penguatkuasaan Final Award yang dikatakan dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa pada Februari 2022 di Paris.

Pada 12 Julai 2022, hakim praperbicaraan Mahkamah Rayuan Paris memerintahkan penangguhan penguatkuasaan tanpa syarat di Perancis, sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan Paris, atas alasan ia berkemungkinan menjejaskan kedaulatan wilayah Malaysia.

Kumpulan Sulu memfailkan tuntutan mencabar perintah itu pada 27 Julai 2022, dan perbicaraan mengenainya diadakan pada 16 Jan 2023.

Kumpulan Sulu sebelum ini dilaporkan membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah di Sabah, yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.

Mereka membawa perkara tersebut kepada timbang tara Sepanyol pada 2019 dan kemudiannya penimbang tara Dr Gonzalo Stampa yang dilantik oleh kumpulan individu berkenaan, membuat keputusan memihak kepada pihak mereka (penuntut).

Stampa telah mengeluarkan final award dan keputusan itu digunakan untuk merampas aset Petronas di Luxembourg.

Penuntut Sulu kemudiannya meneruskan prosiding timbang tara di Perancis bagi mendapatkan final award walaupun keputusan mahkamah di Sepanyol sebelum ini memihak kepada Malaysia.

Malaysia telah menggunakan semua remedi undang-undang yang ada, untuk mencabar tindakan penuntut Sulu itu di mahkamah Sepanyol dan Perancis. - Bernama