Kerajaan guna semua cara hentikan tuntutan Sultan Sulu

Azalina
Azalina
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan akan menggunakan segala kuasa, hak dan sumber yang ada bagi menghentikan tuntutan Sultan Sulu ke atas negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap aspek kedaulatan dan keselamatan negara serta akan berusaha sedaya upaya memastikan keamanan Sabah terjamin.

"Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan barisan jemaah menteri tidak akan berkompromi terhadap aspek kedaulatan dan keselamatan serta tidak akan berhenti berusaha untuk melindungi dan memelihara kepentingan, kekebalan kedaulatan dan kedaulatan Malaysia.

"Kerajaan Perpaduan komited terhadap hal ehwal warga Sabah dan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan keamanan, kemakmuran dan keselamatan Sabah sentiasa dijamin," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata demikian susulan sesi Taklimat Mengenai Isu Tuntutan Pihak Mendakwa Waris Kesultanan Sulu bersama Kerajaan Sabah dan ahli komuniti Sabah di Magellan Sutera Resort, Kota Kinabalu, Sabah.

Taklimat berkenaan diadakan bersama pegawai-pegawai Kerajaan Persekutuan daripada Bahagian Hal-Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Peguam Negara (AGC) dan wakil Sekretariat Khas iaitu Datuk Dr Sundra Rajoo dan Datuk Feroz Hussein Ahmad Jamaluddin,.

Azalina menjelaskan, taklimat itu bertujuan menerangkan mengenai latar belakang melibatkan isu tuntutan ini dan perkembangan berkaitan tindakan undang-undang di empat bidang kuasa iaitu Sepanyol, Perancis, Luxembourg dan Belanda.

Ujarnya, ia sebagaimana taklimat yang telah diadakan bersama-sama dengan ahli-ahli Parlimen dari Blok Kerajaan dan Blok Pembangkang pada Selasa.

"Selain itu, taklimat ini juga bertujuan mendapatkan pandangan daripada warga Sabah yang terkesan secara langsung," ujarnya.