Maqis tumpas cubaan bawa masuk hasil pertanian, produk haiwan

Segelintir penumpang dari Thailand, Indonesia dan Vietnam dikesan membawa masuk produk pertanian dan haiwan seperti buah limau, daging babi dan susu dengan menyembunyikannya di dalam bagasi pakaian.
Segelintir penumpang dari Thailand, Indonesia dan Vietnam dikesan membawa masuk produk pertanian dan haiwan seperti buah limau, daging babi dan susu dengan menyembunyikannya di dalam bagasi pakaian.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Johor berjaya mematahkan cubaan membawa masuk barangan pertanian dan produk hasilan haiwan bernilai RM5,870 secara tidak sah dari Thailand, Vietnam dan Indonesia.

Maqis menerusi satu kenyataan memaklumkan produk buah limau, daging babi dan susu dirampas daripada pelancong negara itu di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai pada Rabu.

Menurutnya, kesemua produk seberat 787 kilogram (kg) itu disembunyikan di dalam bagasi pakaian bagi mengaburi pegawai pemeriksa.

"Hasil pemeriksaan yang dilakukan oleh pegawai Maqis mendapati terdapat segelintir pelancong membawa masuk pelbagai produk pertanian dan hasilan pertanian seperti buah limau, daging babi dan susu dengan menyembunyikan di dalam bagasi pakaian bagi mengaburi pegawai pemeriksa.

"Berikutan itu, pegawai Maqis dengan kerjasama pihak Kastam berjaya mematahkan cubaan membawa masuk barangan pertanian yang dibawa tanpa sebarang dokumen yang sah," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran produk haiwan dan hasilan haiwan tanpa permit import Maqis menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) Akta yang sama.

“Jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

“Pihak Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di pintu masuk ini bagi menjamin keselamatan keluaran haiwan dan hasilan haiwan yang masuk ke dalam negara dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan oleh kerajaan,” menurut kenyataa itu.