Turkish Airlines tambah penerbangan ke Kuala Lumpur

Ahmad Bolat (tiga kanan) bergambar bersama replika kapal terbang Turkish Airlines selepas Majlis ‘Connect With Turkiye with Turkish Airlines’ pada Rabu.
Ahmad Bolat (tiga kanan) bergambar bersama replika kapal terbang Turkish Airlines selepas Majlis ‘Connect With Turkiye with Turkish Airlines’ pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Turkish Airlines bakal melancarkan empat penerbangan tambahan setiap minggu antara Istanbul, Turkiye dan Kuala Lumpur bermula pertengahan Ogos ini.

Pengerusi Lembaga dan Jawatankuasa Eksekutif Turkish Airlines, Profesor Dr Ahmet Bolat berkata, pertambahan itu sekali gus meningkatkan kekerapan penerbangan kepada 14 kali seminggu.

“Ketika ini kami mempunyai kekerapan sebanyak 10 kali seminggu dan sudah bersedia untuk menambah (kekerapan) tidak lama lagi kepada 14 kali setiap minggu.

“Selain itu ia juga bagi memudahkan rakyat Malaysia untuk ke negara Eropah, Afrika dan Amerika Syarikat terutamanya Kanada dengan adanya penerbangan sambungan di Istanbul,” katanya pada sidang media selepas Majlis ‘Connect With Turkiye with Turkish Airlines’ pada Rabu.

Ahmed Bolat
Ahmed Bolat

Dalam pada itu Ahmed Bolat berkata, peningkatan kekerapan penerbangan terus antara dua negara itu secara tidak langsung mampu menarik lebih ramai pelanggan selain merangsang ekonomi menerusi pemulihan sektor pelancongan selepas negara itu dilanda gempa bumi baru-baru ini.

Sementara itu beliau turut memaklumkan, Turkish Airlines memperkenalkan promosi baharu sempena Ramadan dikenali ‘Spend Ramadan in Istanbul’ yang menawarkan pakej percutian selama lima hari termasuk tiket penerbangan dengan harga bermula dari RM7,600.

“Kami menawarkan pengalaman berbeza kepada pelanggan untuk merasai suasana Ramadan di Istanbul terutama suasana selepas solat tarawih, bandar ini tidak ’tidur’.

“Selain itu kami mahu pelanggan menikmati hospitaliti terbaik kami sepanjang penerbangan bersama Turkish Airline ke destinasi pilihan,” ujarnya.

Turkish Airlines merupakan antara syarikat penerbangan yang menawarkan kapasiti tempat duduk laluan antarabangsa terbesar dengan lebih 300 destinasi di 120 negara menggunakan lebih 400 kapal terbang.