14 peniaga Kafeteria UMP rayu turunkan kadar sewa

Peniaga di Kafeteria UMP mendakwa kadar sewa dinaikan sehingga 300 peratus dan caj enam peratus jualan membebankan mereka. Gambar kecil dari kiri: Syed Mohamad Hamzah, Juliza, Azwan Affandi
Peniaga di Kafeteria UMP mendakwa kadar sewa dinaikan sehingga 300 peratus dan caj enam peratus jualan membebankan mereka. Gambar kecil dari kiri: Syed Mohamad Hamzah, Juliza, Azwan Affandi
A
A
A

KUANTAN - Kira-kira 14 peniaga di Kafeteria Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Kuala Pahang dan Gambang berdepan gulung tikar susulan kenaikan kadar sewa hampir 300 peratus sejak Mei tahun lalu.

Lebih membebankan, mereka juga berdepan dengan caj jualan sebanyak enam peratus oleh Vendor Pengurusan Kafeteria UMP sejak Januari tahun lalu selepas hampir lima bulan menaiki kadar sewa lot kedai di premis perniagaan di kampus terbabit.

Mereka memberitahu Sinar Harian, aduan telah dikemukakan kepada pihak berkaitan, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil bagi membantu membela nasib mereka.

Peniaga di Kafeteria UMP, Juliza Ameruddin, 37, berkata, kenaikan sewaan terhadap lot kedai antara RM200 hingga RM1,000 daripada RM400 sebulan sejak Mei tahun lalu, amat membebankan peniaga.

Menurutnya, ditambah pula, caj peratus jualan yang dikenakan vendor terhadap peniaga pada setiap bulan sifatkan sesuatu yang tidak adil.

"Bukankah ini satu bentuk penindasan kepada kami (peniaga kecil) yang mencari rezeki mengikut yang termampu. Kami sebulat suara tidak bersetuju dengan kenaikan sewa dan caj enam peratus jualan yang dikenakan oleh pihak vendor. Kami juga mempunyai banyak komitmen perlu ditanggung terutama kos bahan mentah yang semakin meningkat, selain gaji pekerja.

"Jadi, kami amat berharap pihak UMP cakna dengan kemelut yang sedang kami lalui dan berunding dengan vendor bagi mencari jalan penyelesaian," katanya pada Rabu.

Bagi, Presiden Persatuan Peniaga UMP, Azwan Affandi Mohd Jahaya berkata, kenaikan sewa dan caj yang dikenakan itu menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga makanan dan minuman.

Jelasnya, kenaikan itu sebenarnya boleh menjejaskan imej universiti dan sekali gus memberi kesan yang tidak baik kepada semua penuntut terutama golongan yang kurang berkemampuan.

"Bila kita naikkan harga (makanan dan minuman) penuntut pasti terbeban dan menyebabkan mereka perlu menggunakan guna wang yang lebih banyak bagi menampung perbelanjaan harian.

"Tapi kita tiada pilihan dan menaikkan harga demi meneruskan kelangsungan perniagaan, jika tidak kita terpaksa gulung tikar (tanggung kerugian)," katanya lagi.

Beliau menambah, peniaga juga tidak bersetuju dengan pihak vendor yang mengambil kesempatan dengan memonopoli jualan dan menentukan menu makanan yang dijual di setiap kedai.

"Kami tidak lagi dibolehkan menjual makanan pilihan seperti biasa, semuanya ditentukan vendor. Tidak boleh tambah atau jual makanan lain sesuka hati.

"Lebih membimbangkan apabila perkhidmatan penyelenggaraan di semua kafeteria juga lambat dan proses baik pulih mengambil masa yang lama. Ini sudah pasti menyusahkan peniaga jika berlaku sebarang kerosakan di gerai," ujar beliau.

Azwan Affandi berkata, susulan itu, memorandum bantahan kenaikan sewa kedai dan perkongsian keuntungan yang dikenakan setiap bulan kepada Naib Canselor UMP, Kementerian Pengajian Tinggi dan telah juga dimaklumkan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah UMP pada Januari lalu.

Jelasnya, namun tidak sebarang jalan penyelesaian diambil oleh pihak berkaitan.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Alumni Graduan UMP, Ir Ts Dr Syed Mohamad Hamzah Al-Junid Syed Abdul Rahman pula mendakwa syarikat vendor telah diberikan hak eksklusif sebagai syarikat tunggal menyediakan katering kepada semua acara universiti.

Bagaimanapun katanya, perkara itu, masih belum dijawab oleh pihak universiti.

"Amat menyedihkan apabila ada kalangan peniaga yang masih belum menerima bayaran katering lebih daripada tiga bulan dan jumlahnya juga agak tinggi," katanya yang sudah membawa isu terbabit ke pengetahuan pihak UMP.

Syed Mohamad menyeru campur tangan Kementerian Pengajian Tinggi dalam menyelesaikan masalah ini sekali gus membantu peniaga-peniaga kecil ini yang bergantung hidup dengan jualan dalam universiti.

Sementara itu, Naib Canselor UMP, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin menjelaskan, pihaknya bersedia mengadakan perbincangan dengan subpengusaha yang terdiri daripada alumni UMP.

Katanya, pertemuan itu bagi membolehkan pihaknya menerangkan modul pengurusan perkhidmatan kafeteria universiti secara pengusaha utama yang dilaksanakan di universiti ini.

Habis#