Guan Eng hantar surat tuntutan supaya Muhyiddin mohon maaf

Guan Eng (kiri) berkongsi surat tuntutan kepada Muhyiddin di Twitter miliknya.
Guan Eng (kiri) berkongsi surat tuntutan kepada Muhyiddin di Twitter miliknya.
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menghantar surat tuntutan kepada Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya menarik balik kenyataan dan memohon maaf berhubung tuduhan yang mengaitkan beliau dengan pembatalan cukai kepada Yayasan Albukhary.

Menerusi perkongsian di laman Twitter miliknya, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan telah menghantar salinan surat tuntutan itu kepada pihak Muhyiddin pada Rabu.

Berdasarkan salinan dokumen yang dimuat naik itu, surat tersebut dihantar kepada Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerusi Tetuan Gouk.

Surat tuntutan itu turut menyebut, Muhyiddin didakwa mengeluarkan kenyataan mengaitkan Guan Eng sebagai individu yang terlibat membatalkan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary ketika menjadi Menteri Kewangan sebelum ini dalam tiga kenyataan berasingan.

Susulan itu, Muhyiddin diberi tempoh tujuh hari bermula Rabu untuk menarik balik kenyataan serta membuat permohonan maaf secara terbuka, selain tidak mengulangi dakwaan itu.

Sekiranya tuntutan itu gagal dipenuhi dalam tempoh ditetapkan, Tetuan Gouk bagi pihak Guan Eng, akan memfailkan writ saman bagi memulakan prosiding undang-undang terhadap Muhyiddin.

Muhyiddin sebelum ini mendakwa Guan Eng sebagai individu yang bertanggungjawab terhadap keputusan mengenakan semula cukai ke atas Yayasan Albukhary.

Ujar Muhyiddin, selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara pada Mei 2018, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) enggan melaksanakan pengecualian cukai yang telah diberikan sebelum ini.

Bagaimanapun dakwaan itu dinafikan Guan Eng, selain turut menggesa bekas Perdana Menteri itu mengemukakan bukti.