'Pentauliahan tiada kaitan politik'

Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Pendakwah terkenal, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menegaskan isu pentauliahan tiada kaitan dengan politik, sebaliknya sebagai langkah pencegahan bagi memelihara agama Islam.

Timbalan Dekan Jaringan Industri dan Masyarakat Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata, memohon tauliah adalah tidak susah, namun ada standard dan prosedur ditetapkan perlu dilepasi.

“Ia seumpama kita jadi penasihat syariah bank atau penasihat syariah takaful perlu melalui proses temu duga ditetapkan oleh pihak bank negara.

“Begitu juga apabila hendak dapatkan tauliah dari negeri, maka kita perlu patuh syarat diwajibkan oleh jabatan agama Islamnya.

“Malah mereka juga perlu mahir dalam bidang agama dan berkaitan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ahad lalu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mengesahkan penceramah bebas, Ustaz Azhar Idrus ialah antara yang tiada tauliah untuk berceramah dan berkuliah di masjid serta surau di negeri berkenaan.

Difahamkan, beliau sudah tiga kali dipanggil oleh pihak berkuasa untuk menjalani proses temu duga pemegang tauliah.

Selain itu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan penceramah Ustaz Wadi Annuar tiada tauliah mengajar di Selangor.

Pada 10 Mac lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah tauliah mengajar bukan untuk menyusahkan agamawan menyampaikan dakwah, sebaliknya sebagai langkah pencegahan memastikan kuliah disampaikan memenuhi maqasid syariah.

Baginda sekali lagi memberi peringatan supaya masjid dan surau tidak dijadikan medan serta propaganda politik kepartian.

Mohd Izhar Ariff berkata lagi, tauliah merupakan salah satu undang-undang ditetapkan Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam yang perlu dipatuhi setiap pendakwah dan penceramah sekiranya ingin berceramah dan berkuliah di negeri berkenaan.

Beliau berkata, untuk berceramah atau berkuliah di masjid atau surau di mana-mana negeri wajib mempunyai tauliah dan perlu membuat permohonan.

“Walaupun saya penceramah dan mempunyai jawatan dalam pentadbiran, saya tetap kena ikut arahan serta mohon tauliah di negeri tersebut supaya tidak langgar arahan ditetapkan sultan dan pemerintah negeri.

“Jika saya pergi ke Kelantan, Terengganu, Pahang dan Sarawak perlu ada tauliah dari negeri tersebut. Ia merupakan perkara perlu kita patuhi (mohon tauliah) tidak kira sama ada negeri itu ditadbir pembangkang atau kerajaan,” ulasnya.

Mohd Izhar Ariff menjelaskan pentauliahan adalah penting untuk memastikan sebarang ajaran daripada pendakwah itu tidak memberi impak buruk terhadap agama, masyarakat dan negara.

Katanya, bagi memastikan negara dalam keadaan aman, damai, tidak bercelaru dan tidak bertelagah sesama sendiri maka pemimpin negeri telah mewajibkan semua penceramah mendapat tauliah mengajar dari setiap negeri.

“Ia bertujuan untuk memastikan ceramah dan kuliah disampaikan mengikut piawaian serta mengikut standard telah ditetapkan oleh mufti di negara ini,” jelas beliau.