'Tidak sangka media Malaysia masih amal etika, moral Islam'

Seramai 75 pelajar yang terdiri daripada Babson College, Amerika Syarikat; Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dan Yayasan Selangor mengadakan satu lawatan ke Karangkraf.
Seramai 75 pelajar yang terdiri daripada Babson College, Amerika Syarikat; Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor dan Yayasan Selangor mengadakan satu lawatan ke Karangkraf.
A
A
A

SHAH ALAM - Pelajar luar negara tidak menyangka media Malaysia masih mengamalkan etika dan moral Islam dalam penerbitan mereka.

Pelajar Perniagaan Dan Keusahawanan Babson College, Amerika Syarikat (AS), Cailey Sapienza, 21, berkata, ia berbeza dengan syarikat media di negaranya yang hanya memikirkan keuntungan.

Di AS katanya, mereka akan menerbitkan semua bahan bacaan walaupun ia tidak memberi manfaat kepada pembaca.

“Saya rasa sesuatu yang berbeza apabila mengetahui Kumpulan Media Karangkraf hanya menerbitkan novel, buku atau majalah yang ada nilai kepada kehidupan manusia.

“Ia berbeza di tempat kami, apa sahaja yang boleh dijual dan menghasilkan wang tetap akan diterbitkan walaupun tidak baik,” ujarnya kepada Sinar Harian.

Tambah Cailey, melalui lawatan itu, pelajar dapat belajar mengenai budaya, etika korporat dan nilai yang berbeza dalam perniagaan.

Sementara itu, Noah Platt, 23, memberitahu, mengunjungi Karangkraf memberikan pengalaman menarik buat dirinya selain menambah pengetahuan mengenai industri penerbitan di Malaysia.

“Saya berpeluang merasai pengalaman baharu, Karangkraf menggunakan pendekatan berbeza menerusi media digital.

“Kami dapat banyak pengalaman ketika melawat di sini. Iaitu dengan menggabungkan perniagaan dan etika terutamanya moral Islam membuatkan ia sesuatu yang berbeza,” jelasnya.

Beri kefahaman tentang tanggungjawab sosial

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Bina Pavo, Dr Leilainie Mohd Nor berkata, lawatan ke syarikat swasta dan entiti kerajaan merupakan satu pendekatan yang baik bagi memberi pemahaman kepada pelajar terutamanya daripada institusi luar negara mengenai tanggungjawab sosial di Malaysia.

Menurutnya, nilai-nilai seperti tanggungjawab menjaga kesejahteraan komuniti dan kelestarian menjadi fokus utama yang perlu diterapkan dalam kalangan pelajar.

Justeru, pihaknya melaksanakan pendekatan seperti itu sejak sedekad yang lalu.

“Kami sering membuat lawatan ke Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf) kerana merasakan syarikat ini sesuai dijadikan contoh terutamanya dalam menerapkan nilai-nilai tanggungjawab sosial.

“Nilai yang wujud di Karangkraf sangat dominan antaranya berkongsi, mengambil berat dan berintegriti selain sentiasa mengadakan perbincangan antara satu sama lain,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Leilainie, elemen seperti perkongsian, penyayang, kejujuran yang dibawa oleh Karangkraf adalah kunci kejayaan syarikat tersebut.

“Jadi, tidak ragu-ragu untuk saya membawa pelajar ke sini kerana mereka perlu didedahkan tentang sesebuah syarikat mengamalkan nilai-nilai dalam sebuah perniagaan.

“Lebih-lebih lagi, Karangkraf adalah kumpulan keluarga, jadi Bina Pavo telah membuat penyelidikan dan penerbitan khusus mengenai nilai-nilai Karangkraf, menerbitkannya di Harvard Business University dan membentangkannya di Hong Kong, Sepanyol, Jepun, dan di mana sahaja kita pergi untuk dikongsi kepada semua pihak,” kata beliau.