13,101 kes cerai pasangan Islam di Kedah

Kedah mencatatkan sebanyak 13,101 kes perceraian bagi pasangan Islam di Kedah dalam tempoh empat tahun bermula 2019 hingga 2022. - Gambar hiasan 123RF
Kedah mencatatkan sebanyak 13,101 kes perceraian bagi pasangan Islam di Kedah dalam tempoh empat tahun bermula 2019 hingga 2022. - Gambar hiasan 123RF
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah mencatatkan sebanyak 13,101 kes perceraian bagi pasangan Islam di Kedah dalam tempoh empat tahun bermula 2019 hingga 2022.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Kebajikan Negeri, Datuk Halimaton Shaadiah Saad berkata, jumlah penceraian pada tahun 2019 adalah sebanyak 3,917 kes.

Menurutnya, kes tersebut menurun kepada 3,353 pada 2020 sebelum turun lagi kepada 2,586 kes pada 2021 namun kembali mencatatkan peningkatan kepada 3,245 kes pada 2022.

"Beberapa langkah diambil untuk mengatasi masalah ini antaranya mengadakan Program Raikan Cinta yang khususnya kepada pasangan yang menghadapi krisis rumahtangga bagi mengeratkan semula tautan kasih dan sayang antara suami dan isteri.

"Program ini dapat memberi pendedahan kepada pasangan tentang ilmu perkahwinan, ilmu keagamaan dan tanggungjawab yang perlu dipikul sebagai seorang suami dan isteri bagi mengekalkan keharmonian dan keutuhan rumah tangga," katanya pada sesi pengulungan Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Kali Ke-14 di Wisma Darul Aman pada Selasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, Dr Salmee Said berkenaan isu eksploitasi ke atas wanita dan kanak-kanak terutama dalam konteks perkahwinan dan rumah tangga.

Tiga daerah yang mencatatkan rekod tertinggi penceraian dalam tempoh empat tahun tersebut ialah daerah Kuala Muda sebanyak 2,585 kes diikuti Kota Setar (2,189 kes) dan Kubang Pasu (1,518 kes).

Halimaton Shaadiah yang juga ADUN Bukit Kayu Hitam berkata antara faktor penceraian adalah masalah kewangan, tidak bertanggungjawab, kurang ilmu mengenai peranan suami dan isteri, tidak mempunyai pegangan agama kuat dan kehadiran serta campur tangan orang ketiga

Mengulas lanjut, beliau berkata, Program Raikan Cinta juga telah dilaksanakan sebanyak dua kali dan akan diteruskan lagi berikutan sambutan penyertaan yang diterima adalah amat tinggi.

Menurutnya, matlamat program ini telah tercapai bagi membantu pasangan dalam membina keluarga yang sakinah, warahmah dan mawaddah.

"Selain itu, Pejabat Pembangunan Wanita Negeri Kedah sentiasa mengadakan program advokasi bagi meningkatkan pengetahuan para wanita berkenaan hak-hak pembelaan dalam undang-undang.

"Penambahan ilmu pengetahuan dalam undang-undang ini dapat menghindarkan individu daripada menjadi mangsa dan

menggunakan saluran undang-undang yang betul sebagai medium untuk menegakkan keadilan selain menjamin kebajikan serta kesejahteraan wanita," ujarnya lagi.

Tambahnya, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) melalui Bahagian Undang-Undang Keluarga Islam juga menawarkan khidmat nasihat, sesi kaunseling dan motivasi secara awal untuk membantu wanita yang terkesan dalam masalah penceraian.