Kertas siasatan kes ugutan terhadap kumpulan Radja selesai

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Polis telah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes ugutan jenayah dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kumpulan muzik dari Indonesia, Radja selepas konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kertas siasatan itu akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya bagi mendapat nasihat dan arahan selanjutnya.

Beliau berkata, polis telah mengambil keterangan daripada 14 individu warga tempatan dan tiga warga asing bagi membantu siasatan.

"Polis Johor memberi jaminan bahawa siasatan yang telus akan dijalankan tanpa kompromi mengikut undang-undang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun dan seorang lagi lelaki warga asing berusia 48 tahun ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan kira-kira jam 3.30 petang Ahad lepas bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Kamarul Zaman berkata, kedua-dua lelaki itu disiasat di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabit bersalah.

Terdahulu, media melaporkan kumpulan itu mendakwa menerima ancaman bunuh serta dilemparkan kata-kata kesat selepas mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin di sini, kira-kira jam 11.15 malam Sabtu, dipercayai berpunca daripada salah faham antara kumpulan berkenaan dengan pihak penganjur.

Sementara itu, Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru, Sigit S Widiyanto berkata, pihaknya menghargai tindakan pantas polis dalam menangani kes tersebut namun berharap tindakan sewajarnya dapat diambil mengikut peruntukan undang-undang di negara ini.

"Kami hanya ingin kes ini terus diambil tindakan susulan sesuai dengan ketentuan atas apa yang berlaku dan kami tentunya berharap (kes) dapat berjalan terus.

"Radja mengalami trauma dan takut kerana mereka pertama kali datang ke Johor. Konsert itu sukses dan penonton secara umum gembira namun kemudiannya mendapat perlakuan seperti ini, jadi mereka menyatakan rasa kecewa dan takut kerana tidak pernah berlaku seperti ini sebelumnya," katanya ketika dihubungi Bernama.

Penganjur acara Majestic Johor Concert-Radja Live in Johor 2023, Mimosa Events & Entertainment dalam kenyataan di laman sosial Instagram menzahirkan rasa kesal dan memohon maaf atas insiden itu yang dikatakan berpunca daripada salah faham.

"Setelah diselidiki, Radja langsung tidak mengetahui mengenai kesemua isu yang dibangkitkan sebelum dan semasa konsert kerana komunikasi pihak penganjur bersama kumpulan itu hanyalah menerusi pengurus tempatan untuk kumpulan tersebut secara ekslusif.

"Hal ini telah menyebabkan ketidakpadanan maklumat yang sewajarnya diterima kumpulan terbabit daripada pihak penganjur. Salam maaf ini juga dipanjangkan kepada pihak Tourism Johor, KJRI di Johor Bahru serta semua pihak yang terkesan berhubung perkara ini," katanya.