Polis sahkan terima laporan Radja diugut

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor mengesahkan telah menerima laporan berhubung dakwaan kumpulan muzik terkenal Indonesia, Radja menerima ugutan jenayah dan kata-kata kesat.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, laporan polis berkenaan diterima pada kira-kira jam 5.34 pagi, Ahad.

"Ekoran laporan yang diterima itu, polis telah merakam percakapan semua mangsa dan sedang mengesan suspek-suspek yang terlibat.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jelasnya, polis memandang serius perkara tersebut dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang tindakan membabitkan isu salah laku jenayah dan ketenteraman awam yang boleh menggugat keamanan.

Sebelum itu, media melaporkan Radja menzahirkan rasa kekecewaan selepas menerima ancaman bunuh selepas selesai mengadakan konsert di Stadium Tertutup Arena Larkin, Johor Bahru.

Insiden kekecohan yang berlaku pada sekitar jam 11.15 malam Sabtu itu dikatakan tercetus susulan berlaku isu salah faham antara pihak penganjur dan band berkenaan.