Dua ditahan hambur kata-kata kesat, ugut kumpulan Radja

Polis Johor sebelum ini mengesahkan telah menerima laporan berhubung dakwaan kumpulan muzik terkenal Indonesia, Radja menerima ugutan jenayah dan kata-kata kesat.
Polis Johor sebelum ini mengesahkan telah menerima laporan berhubung dakwaan kumpulan muzik terkenal Indonesia, Radja menerima ugutan jenayah dan kata-kata kesat.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes kumpulan muzik Indonesia, Radja yang mendakwa dihambur kata-kata kesat serta diugut bunuh, dalam kejadian malam Sabtu.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, dua lelaki itu ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan pada petang Ahad.

"Hasil siasatan mendapati suspek adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 37 tahun dan seorang lagi lelaki warga asing berusia 48 tahun," katanya menerusi satu kenyataan pada malam Ahad.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian berkenaan memandangkan siasatan masih dijalankan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi terus Pegawai Penyiasat Inspektor Noor Azlinda Mohd Khalid di talian 017-2765250," katanya.

Terdahulu, Kamarul Zaman memaklumkan, polis sudah memulakan siasatan ke atas kes berkenaan selepas menerima laporan polis dibuat pengurus kumpulan muzik itu awal pagi Ahad.