Sultan Selangor ingatkan lagi, masjid bukan medan politik

Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2023 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, pada Isnin. - Foto Bernama
-- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA *** Local Caption *** MENGIRINGI BERITA
Sultan Sharafuddin berkenan menyampaikan Titah Diraja sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Yang Keempat Belas Tahun 2023 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, pada Isnin. - Foto Bernama -- fotoBERNAMA (2023) HAK CIPTA TERPELIHARA *** Local Caption *** MENGIRINGI BERITA
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi memberi peringatan supaya masjid dan surau tidak dijadikan medan serta propaganda politik kepartian.

Titah baginda, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah diarah memastikan masjid dan surau bebas dari unsur-unsur politik yang boleh memecahbelahkan perpaduan dan keharmonian umat Islam.

Menurut baginda, masjid dan surau tidak seharusnya menjadi punca perbalahan dan sengketa yang akan membina jurang pemisah atas dasar perbezaan fahaman politik dan dendam politik yang tidak berkesudahan.

"Ini berlaku lantaran terdapat penceramah-penceramah tertentu ketika memberi ceramah di masjid dan surau telah mengambil kesempatan untuk menyindir, menghina, mencaci malah memfitnah pihak-pihak dan golongan tertentu atas sebab perbezaan fahaman politik," titahnya pada Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal keenam Dewan Negeri Selangor pada Isnin.

Baginda menzahirkan kebimbangan keadaan itu akan memecah belah umat Islam khususnya orang Melayu jika budaya itu tidak dibendung.

"Melihat kepada kesan dan implikasi buruk ini, beta telah menitahkan bahawa hanya mereka yang mempunyai tauliah dari Jawatankuasa tauliah MAIS dibenarkan untuk memberi ceramah, kuliah, tazkirah atau pengajian di masjid, surau atau di mana-mana tempat di negeri Selangor ini.

"Sekali lagi beta tegaskan bahawa hanya mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan yang luas mengenal agama Islam sahaja yang layak untuk diberikan tauliah untuk mengajar bagi mengelakkan anasir ajaran sesat serta budaya fitnah memfitnah dari berlaku," titahnya.

Pada masa sama, baginda mengingatkan MAIS untuk terus mengeluarkan arahan dan semasa ke semasa agar umat Islam khususnya orang politik tidak menjadikan masjid dan surau di Selangor sebagai pentas untuk mereka berceramah dan berkempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun ini.

"Beta menyeru semua pihak yang mengambil bahagian di dalam pilihan raya nanti agar mematuhi peraturan sedia ada dan saling hormat menghormati antara satu sama lain.

"Ingatlah, tingkah laku orang-orang politik semasa tempoh kempen akan disaksikan dan dinilai oleh rakyat sebelum mereka membuat pemilihan," titahnya.

Sempena pembukaan Sidang DUN Selangor, baginda turut menasihati Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat membahaskan isu secara berhemah, penuh kebijaksanaan dan dapat menghasilkan penyelesaian yang berkesan demi kesejahteraan rakyat dan negeri.