'Saya sedia disiasat bila-bila masa' - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid (kanan).
Ahmad Zahid (kanan).
A
A
A

JOHOR BAHRU - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kesediaanya untuk disiasat mana-mana pihak atau pada bila-bila masa.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ia susulan cabaran yang dilontarkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau turut mengingatkan Muhyiddin supaya bersifat terbuka berdepan apa jua pertuduhan di mahkamah kelak.

"Saya sentiasa terbuka, saya pernah disiasat, saya pernah dibawa ke mahkamah. Saya bersedia pada bila-bila masa.

"Namun (Muhyiddin) jangan seperti menepuk air di dulang, tentu muka kita terpercik. Jangan juga meluduh ke langit, pasti ludah itu terkena muka sendiri.

"Oleh itu, hadapi apa jua sebab saya pernah hadapinya sebelum ini. Saya ucapkan selamat berjaya kepada beliau," katanya.

Ahmad Zahid (kiri) pada sidang akhbar selepas Majlis Pengenalan Calon Naib Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat pada Ahad.
Ahmad Zahid (kiri) pada sidang akhbar selepas Majlis Pengenalan Calon Naib Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat pada Ahad.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pengenalan Calon Naib Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat di sini pada Ahad.

Hadir sama, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Sebelum itu, Muhyiddin dilaporkan mencabar SPRM untuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahli Parlimen Pagoh itu menegaskan, bukan sahaja Bersatu, siasatan juga perlu dilakukan terhadap kedua-dua pemimpin itu serta sumber kewangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO.

Pada Jumaat, Muhyiddin didakwa di Mahkamah Sesyen atas enam pertuduhan, membabitkan empat kerana menggunakan kedudukan mendapatkan rasuah RM232.5 juta dan dua kesalahan pengubahan wang haram membabitkan RM195 juta.

Bagaimanapun, Muhyiddin mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Azura Alwi.