[VIDEO] Muhyiddin cabar SPRM dakwa Anwar, Zahid

Muhyiddin - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
Muhyiddin - Foto Sinar Harian/Rosli Talib
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, bukan sahaja Bersatu, siasatan juga perlu dilakukan terhadap kedua-dua pemimpin itu serta sumber kewangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan UMNO.

“Saya tak ambil rasuah walau satu sen pun. Tapi oleh kerana kedudukan saya sebagai Presiden Bersatu dan Pengerusi PN (Perikatan Nasional) dilihat sebagai pencabar utama kepada Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi, yang kedua-duanya kita tahu menubuhkan kerajaan campuran ‘luar tabii’ PH dan BN.

“Sebab itu saya menjadi mangsa pendakwaan politik terpilih dan yang terancam. Saya nak cabar SPRM supaya siasat Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi kerana mereka berdua adalah Presiden PKR dan UMNO.

“Tanya dia, siasat dia. Daripada mana punca dana UMNO dan PKR dapat sejak zaman pertama hingga ke hari ini atau daripada manakah sumber DAP dan PH terima setakat ini? Jawab.

“Adakah tidak mereka juga menerima dana politik daripada ahli perniagaan? katanya ketika berucap dalam Ucapan Dasar Presiden sempena Perhimpunan Agung Bersatu di Menara PGRM, di sini pada Ahad.

Tegas Muhyiddin, pendakwaan terhadap pemimpin Bersatu juga adalah pemangsaan politik secara terpilih yang dilakukan secara rakus.

Jelasnya, bukan sahaja akuan parti itu dibeku tetapi vendor dan pembekal bahan Bersatu juga disiasat.

“Apa tujuan mereka disiasat? Saya melihatnya sebagai usaha menakutkan orang ketiga. Ia bagi memastikan agar tiada lagi pihak yang akan membekalkan barangan dan memberi sumbangan kepada Bersatu kerana takut akan jadi mangsa pendakwaan terpilih.

“Apa akan jadi? Lumpuhlah Bersatu. Lumpuh Bersatu, lumpuhlah PN. Mereka juga cuba berikan gambaran buruk terhadap Bersatu dan PN. Awal-awal lagi kata kononnya kita dapat dana daripada hasil judi.

“Saya nak tegaskan, kebanyakan dana yang kita terima adalah sumbangan ikhlas yang tidak memerlukan balasan, seperti Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary. Saya sebut nama dia sebab ada dalam pertuduhan saya.

“Saya adalah rakan baik dengan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary hampir 40 tahun. Kita tahu dia seorang hartawan, dermawan dan banyak melakukan kebajikan. Saya tak fikir sumbangan yang diberikan kepada Bersatu hasil daripada wang judi,” ujarnya.