Kanak-kanak 3 tahun dibunuh kejam

No Image Caption
A
A
A

LAHAD DATU - Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dibunuh dengan kejam apabila mayatnya ditemui dalam keadaan kepalanya tersepit pada pokok dan terdapat kesan torehan pada tangan serta kaki selain diikat menggunakan tali.

Mayat mangsa ditemui di kawasan semak di Kampung Panji di sini, oleh ibunya sendiri kira-kira jam 3 petang, Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Lahad Datu, Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan mayat mangsa daripada talian kecemasan 999.

Katanya, mayat ditemui dalam keadaan berdarah dan terdapat kesan ikatan pada bahagian tangan kanak-kanak itu.

"Menurut ibu mangsa yang berusia 20-an, anaknya keluar bermain namun tidak pulang ke rumah dan kali terakhir dilihat pada jam 12 tengah hari, Sabtu.

"Ibu mangsa berusaha mencari di sekitar kampung dan hanya menemui anaknya pada jam 3 petang dalam keadaan mengalami kecederaan luka bahagian kepala, kedua belah tangan dan kaki kiri manakala tangan sebelah kanan diikat menggunakan tali," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya lagi, ibu mangsa segera mendapatkan bantuan daripada orang ramai bagi menghubungi pihak polis.

"Hasil pemeriksaan mendapati, mangsa dalam keadaan tangan kanan terikat, kepalanya turut tersepit antara dua belah pokok.

"Selain itu, kepala mangsa juga cedera dipercayai dicederakan menggunakan objek tajam serta kesan torehan pada kedua belah tangan dan kaki kiri," katanya.

Sehubungan itu, Azmir berkata, bertindak atas maklumat daripada orang awam, seorang lelaki warga asing berusia 30-an berjaya ditahan.

"Lelaki itu adalah individu terakhir yang dilihat bersama dengan mangsa dan tangkapan mendapati suspek positif menggunakan dadah serta dipercayai kurang siuman.

"Turut ditahan kedua ibu bapa mangsa masing-masing berusia 20-an dan 30-an.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabit kesalahan," katanya.

Azmir dalam pada itu turut menasihatkan agar orang ramai di daerah ini tidak panik dan menyebarkan maklumat yang tidak sahih.