Tiada usaha jatuhkan MB: Aziz Bari

Abdul Aziz ketika sidang media selepas melawat Bilik Media Sidang DUN Perak, hari ini.
Abdul Aziz ketika sidang media selepas melawat Bilik Media Sidang DUN Perak, hari ini.
A
A
A

IPOH - Exco Kerajaan Perak, Dr Abdul Aziz Bari menegaskan tiada sebarang plot atau sebarang usaha untuk menyingkirkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Katanya, dakwaan yang mengaitkan beliau dengan usaha itu juga tidak benar kerana ia tidak semudah itu.

Beliau berkata, pelantikan menteri besar ditentukan oleh Majlis Pimpinan PH dan nama akan dihantar ke istana untuk mendapatkan perkenan Sultan.

"Tidak ada plot atau apa-apa usaha untuk menjatuhkan menteri besar oleh saya. Jadi tak betul kata saya nak jatuhkan menteri besar. Langsung tak masuk akal dan melawan sistem.

"Macam mana saya nak jatuhkan dia (menteri besar) saya dah sebut tidak ada undi tak percaya kalau UMNO nak cakap itu soal dia. Saya team player saya tak buat keputusan seperti ini," katanya kepada pemberita selepas melawat Bilik Media Sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan akhbar tempatan bahawa Abdul Aziz sanggup menukar 'baju' kepada Bersatu untuk pastikan dilantik sebagai Menteri Besar Perak.

Menurut Abdul Aziz, laporan tersebut seolah-olah cuba menggambarkan beliau sebagai gila kuasa, tidak sabar dan tikam belakang.

Katanya, hubungan dengan Ahmad Faizal tiada masalah secara peribadi namun dari segi polisi juga tiada sebarang percanggahan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Aziz berkata, DAP juga tidak ada usaha untuk menjatuhkan Ahmad Faizal.

"Jika ia dilakukan, segala-galanya akan jatuh. Menteri besar ditukar oleh kepimpinan bukan melalui undi tak percaya. Saya dengan menteri besar ok dari segi polisi pun tiada apa-apa percanggahan," katanya yang juga Naib Pengerusi DAP Perak.

Ditanya sama ada tindakan undang-undang akan diambil ke atas laporan akhbar tersebut, Abdul Aziz berkata, tiada tindakan akan diambil kerana beliau percaya dengan kebebasan akhbar biarpun ada dicadangkan oleh rakan-rakan exco.