Isu Muhyiddin: Tidak timbul perpecahan pemimpin, ahli Bersatu

Ahmad Faizal hadir pada sidang media sempena Persidangan Agung Tahunan Srikandi Bersatu Malaysia 2022 di Menara PGRM di Kuala Lumpur pada Jumaat.
Ahmad Faizal hadir pada sidang media sempena Persidangan Agung Tahunan Srikandi Bersatu Malaysia 2022 di Menara PGRM di Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendakwaan ke atas Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak menimbulkan perpecahan dalam kalangan pemimpin dan ahli parti itu.

Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, malah apa yang berlaku sekarang telah menyatupadukan semua pihak di dalam parti berkenaan.

Katanya, tidak dinafikan ada perasaan marah apabila pemimpin yang besar jasanya kepada negara diperlakukan sedemikian rupa.

"Secara jujurnya saya tidak nampak perpecahan dalam kalangan ahli dan pemimpin di semua peringkat Bersatu ini, belum dengar lagi.

"Ia juga tidak mematahkan semangat pemimpin dan ahli parti itu untuk terus berjuang dan menentang kezaliman. Kami sentiasa memberi sokongan taat setia malah semakin kuat. Kalau dulu ada sedikit keregangan tetapi sekarang berbeza," ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media sempena Persidangan Agung Tahunan Srikandi Bersatu Malaysia 2022 di Menara PGRM di sini pada Jumaat.

Media melaporkan, bekas Perdana Menteri Malaysia itu telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51, dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Bagi dua lagi pertuduhan, Muhyiddin juga didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu pada 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.

Tambah Ahmad Faizal, usaha untuk mengadakan perhimpunan dan jelajah ( roadshow) akan diteruskan terutamanya di enam negeri yang akan berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN).

"Kami akan bangkitkan isu rakyat dan tunjuk kepada mereka kerajaan hari ini cakap tidak serupa bikin dan gemar berpolitik tanpa fikir soal kebajikan.

"Hanya memberi fokus kepada usaha untuk membela isu rakyat walaupun parti berhadapan kezaliman pentadbiran," jelasnya.