APMM Semporna tahan dua lelaki seludup petrol

A
A

SEMPORNA - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua lelaki berhampiran perairan Pulau Bum Bum di sini, selepas cuba menyeludup keluar 150 tong berisi minyak petrol ke Filipina, malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, pihaknya yang menjalankan tugas rutin terserempak sebuah bot kargo dikendalikan dua lelaki warga Filipina berumur 60 dan 40 tahun itu dalam keadaan mencurigakan sebelum bot itu ditahan pada 8 malam.

"Kedua-dua lelaki yang tidak memiliki dokumen diri sah itu bertindak meloloskan diri apabila menyedari kehadiran bot pasukan keselamatan.

"Namun, anggota penguat kuasa mengejar dan menahan bot suspek, hasilnya terdapat 150 tong minyak petrol dianggarkan bernilai RM24,500 dalam ruangan bot tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Norrimi, tangkapan kes penyeludupan itu merupakan yang kedua bagi tahun ini selepas Februari lepas yang mana kegiatan menyeludup bahan bakar ditumpaskan APMM.

Susulan itu, katanya APMM Zon Maritim Semporna akan terus meningkatkan rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi mengekang pelanggaran undang-undang dan perlakuan jenayah di perairan daerah ini.

Katanya, orang ramai disaran memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat aduan kepada pusat operasi pasukan keselamatan menerusi talian 089-782619 atau MERS 999. - Bernama