Nilai urus niaga hartanah 2022 dijangka di paras tertinggi

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

JUMLAH nilai urus niaga hartanah Malaysia pada 2022 berkemungkinan melebihi paras tertinggi yang pernah direkodkan sebanyak RM161 bilion pada 2014, didorong oleh pemulihan dalam permintaan.

Ahli Lembaga Pengarah Institut Ejen Hartanah Malaysia (MIEA), Ahmad Zamzuri Kamarudin berkata, setakat suku ketiga 2022, jumlah nilai urus niaga hartanah Malaysia hampir RM141 bilion yang dicatatkan pada 2021.

Pusat Maklumat Harta Tanah Negara akan mengumumkan angka 2022 minggu depan, katanya kepada kepada pemberita di Konvensyen Tahunan Hartanah Kebangsaan di sini hari ini.

"Kami menjangkakan 2022 akan melepasi angka tersebut berikutan suku ketiga 2022 yang positif dan susulan momentum itu kami menjangkakan pasaran hartanah akan kekal positif pada 2023,” katanya.

Sementara itu, Presiden MIEA, Chan Ai Cheng berkata, keyakinan pembeli nampaknya telah kembali apabila jumlah pertanyaan untuk penyewaan dan jualan telah meningkat pada suku terakhir 2022.

Beliau berkata, sentimen telah pun bertukar positif sejak Disember tahun lepas berdasarkan tinjauan sentimen MIEA.

Ai Cheng menganggap kenaikan kos pinjaman akibat kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) tahun lepas nampaknya tidak memberi kesan kepada pembeli di Malaysia.

"Walaupun keadaan ekonomi yang suram, ejen dan pemain tempatan kami bersikap positif untuk tahun 2022. Kira-kira separuh daripada mereka berpendapat bahawa tahun 2023 akan menjadi lebih baik," katanya. - Bernama