Muhyiddin dibenar ikat jamin RM2 juta

Muhyiddin diiringi isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama
Muhyiddin diiringi isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat membenarkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin diikat jamin sebanyak RM2 juta.

Hakim Azura Alwi menetapkan jumlah itu selepas membenarkan permohonan daripada pihak pendakwaan terhadap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu yang berdepan enam pertuduhan kes rasuah berjumlah RM232.5 juta dan pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta.

Semasa prosiding, Peguam Cara Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh berkata, pasukan pendakwaan mencadangkan, tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM2 juta dengan dua penjamin warga tempatan dan bukan ahli keluarganya.

“Tertuduh juga dikehendaki menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes ini selesai,” katanya yang turut dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya iaitu Datuk Faridz Gohim Abdullah, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin serta Ahmad Akram Gharib.

Sementara itu, peguam, Datuk K Kumaraendran yang mewakili Ahli Parlimen Pagoh ini berkata, pihak pembelaan tidak membantah jumlah ikat jamin dan syarat yang dicadangkan itu.

Selain Kumaraendran pembelaan turut dibarisi peguam Datuk Rosli Dahlan dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Pada pagi Jumaat, Muhyiddin didakwa sebagai seorang pegawai badan awam, iaitu Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Bersatu, telah menggunakan kedudukan untuk suapan wang berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu iaitu Azman Yusoff, 51 dan tiga syarikat, Bukhary Equity Sdn Bhd, Nepturis Sdn Bhd serta Mamfor Sdn Bhd, bagi sekutu parti itu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Bagi dua lagi pertuduhan, Muhyiddin selaku Presiden parti itu, didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram, iaitu wang berjumlah RM195 juta daripada Bukhary Equity, yang dimasukkan ke akaun CIMB Bank milik Bersatu pada 25 Februari 2021 dan 8 Julai 2022.