Muhyiddin tiba di mahkamah diiringi pemimpin PN, penyokong

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat tiba di pekarangan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada jam 8.40 pagi bagi pertuduhan membabitkan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram (AMLA).

Bagi kes salah guna kuasa, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sementara AMLA bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA).

Ketibaan Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu turut diiringi oleh penyokong beberapa ahli Parlimen, pemimpin Perikatan Nasional (PN) serta penyokong.

Antaranya ialah Timbalan Pengerusi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Ahli Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Azmin Ali; Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Armada Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Difahamkan petugas media telah mula berhimpun sekitar awal jam 7 pagi bagi menanti kehadiran Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki telah mengesahkan berita mengenai pendakwaan yang dihadapi oleh Pengerusi PN itu pada Khamis.

Muhyiddin dilihat tiba di Ibu Pejabat SPRM pada Khamis jam 11.18 pagi bagi memberi keterangan dipercayai berkaitan kes salah guna dana kerajaan Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

SPRM sebelum ini telah membekukan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan beberapa individu termasuk Ketua Penerangan parti itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, didakwa di mahkamah berkaitan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Jana Wibawa dilaksanakan ketika pandemik Covid-19 dan ia kesinambungan kepada Program Pembangunan Kontraktor Binaan Bumiputera Berwibawa yang dimulakan pada tahun 1993.

Pelaksanaannya diluluskan Jemaah Menteri pada 13 November 2020 ketika kerajaan ditadbir PN diterajui Muhyiddin.