'Sumbangan politik terus ke parti, bukan akaun peribadi'

Tangkap layar kenyataan dimuat naik Muhyiddin.
Tangkap layar kenyataan dimuat naik Muhyiddin.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa tidak ada satu sen sumbangan politik diberikan kepada beliau untuk kegunaan peribadi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu menjelaskan sebarang sumbangan politik yang diterima Bersatu disalurkan terus ke akaun parti, bukannya akaun peribadi beliau.

"Jika ada sumbangan daripada Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, ia adalah sumbangan politik yang dimasukkan terus ke akaun Bersatu dan bukannya dalam akaun saya.

"Satu sen pun daripada sumbangan tersebut tidak diberikan kepada saya untuk kegunaan sendiri," dakwanya di Facebook pada Khamis.

Dakwa Muhyiddin, Syed Mokhtar ada memberikan sumbangan kewangan kepada parti-parti politik selama berpuluh tahun termasuk parti-parti politik pemerintah.

"Jika Tan Sri Syed Mokhtar juga ingin memberikan sumbangan kepada Bersatu sebagai parti yang memperjuangkan dasar-dasar yang baik untuk orang Melayu dan negara, di mana salahnya?," soal Muhyiddin.

Dalam pada itu, beliau mendakwa pendakwaan terpilih terhadap dirinya itu adalah satu tindakan politik berniat jahat bertujuan untuk melumpuhkan Bersatu dan PN.

Muhyiddin juga menegaskan bahawa beliau tidak bersalah selain akan menjawab segala pertuduhan terhadap dirinya di mahkamah nanti.

Pada Khamis, SPRM dalam kenyataan mengesahkan penahanan Muhyiddin pada jam 1 petang sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu ditahan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan.

SPRM juga telah mendapat izin daripada Pejabat Peguam Negara bagi mendakwa bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 Mac.