Muhyiddin mungkin berdepan 6 pertuduhan salah guna kuasa, AMLA

Muhyiddin - Gambar Astro AWANI
Muhyiddin - Gambar Astro AWANI
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai akan berdepan empat pertuduhan salah guna kuasa dan dua kes pengubahan wang haram (AMLA) di Mahkamah Sesyen di sini pada Jumaat.

Bagi kes salah guna kuasa, pertuduhan akan dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, sementara AMLA bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA).

Sumber ketika dihubungi pemberita mengesahkan perkara berkenaan.

Selepas Datuk Seri Najib Tun Razak, Muhyiddin akan menjadi bekas Perdana Menteri kedua dituduh atas pertuduhan mengikut peruntukan sesyen sama di mahkamah.

Pada tengah hari Khamis, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan bahawa Muhyiddin akan didakwa esok.

Azam berkata, ketika ini bekas Perdana Menteri berkenaan masih lagi sedang diambil keterangan selepas tiba di Ibu Pejabat SPRM di sini pada jam 11.15 pagi tadi.

Pada Rabu, Ahli Parlimen Pagoh berkenaan menafikan dakwaan beliau ditahan SPRM ketika bermain golf di sebuah padang golf di Selangor seperti dilaporkan beberapa portal media.

SPRM sebelum ini telah membekukan akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan beberapa individu termasuk Ketua Penerangan parti itu, Datuk Wan Saiful Wan Jan dan Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad, didakwa di mahkamah berkaitan projek Program Jana Ekonomi Pemerkasaan Kontraktor Bumiputera Berwibawa (Jana Wibawa).

Perkembangan siasatan kes berkenaan mendapat liputan ramai pengamal media tempatan dan asing, selain penyokong Muhyiddin yang berkumpul di luar bangunan SPRM sejak 7 pagi.