Muhyiddin dibebaskan selepas sembilan jam beri keterangan

Muhyiddin keluar dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 8.20 malam, pada Khamis.
Muhyiddin keluar dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada jam 8.20 malam, pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin dibebaskan selepas kira-kira sembilan jam memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini pada Khamis.

Muhyiddin keluar dengan diiringi beberapa ahli Parti Bersatu pada jam 8.20 malam dan sempat bertemu pemberita sebelum bertolak menaiki kenderaan Toyota Vellfire.

Sebelum itu, Muhyiddin dilihat hadir ke SPRM kira-kira jam 11.15 pagi.

SPRM dalam kenyataan mengesahkan penahanan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu pada jam 1 petang sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh itu ditahan bagi melengkapkan proses siasatan akhir berhubung projek Jana Wibawa dan isu berkaitan.

SPRM juga telah mendapat izin daripada Pejabat Peguam Negara bagi mendakwa bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Kuala Lumpur pada 10 Mac 2023.