Tiadakah simpati buat golongan jerlus KWSP?

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

PENGELUARAN akaun 1 KWSP tidak pernah menjadi option (pilihan) untuk dikeluarkan sejak berpuluh tahun.

Option pengeluaran ini muncul ketika Covid-19 melanda dunia, ekoran ramai yang hilang pendapatan, dikurangkan gaji dan sebagainya, maka dibenarkan keluar akaun 1 KWSP sebagai option.

Hari ini dapat kita lihat musibah Covid-19 telah hampir sepenuhnya pulih dari sudut 'hilang pendapatan/pekerjaan'. Cuba jujur, apakah option pengeluaran akaun 1 KWSP masih relevan?

Apakah adil kita menyalahkan PMX hanya kerana menutup option pengeluaran akaun 1 KWSP?

Keputusan ini amatlah tidak populis, pastinya ada sesuatu yang menggusarkan PMX selaku Menteri Kewangan.

Sekiranya dibenarkan option pengeluaran akaun 1 KWSP, seantero negara dijangka akan mengambil option ini, ratusan bilion modal pelaburan dicairkan, inflasi akan melanda, harga barang akan melambung dan kesan langsung kenaikan OPR tidak dapat dielakkan.

Semua terkesan, sama ada yang mengambil option, atau yang tidak mengambil option, atau yang langsung tiada option.

Mereka yang mengambil option ini mungkin lega dalam satu tempoh masa, bagaimana pula nasib sahabat lain yang tidak mempunyai tabungan KWSP kerana bekerja sendiri, staf kerajaan, pesawah, peniaga, penoreh getah?

Golongan ini juga terkesan dengan inflasi dan kenaikan OPR yang mungkin tidak mampu dielak, dalam keadaan tiada pengeluaran akaun 1 KWSP. Mana rasa simpati kita?

Tanpa menyentuh soal pelaburan KWSP yang akhirnya kurang matang kerana kecairan modal hingga merugikan negara sekiranya option pengeluaran akaun 1 KWSP dibenar, namun sedarkah kalian PMX juga membela nasib golongan yang tiada KWSP dan golongan yang jumlah tabungan KWSP sangat rendah.

Apa PMX nak jawab nanti, jika 70 peratus mereka yang kurang tabungan KWSP ini melepasi umur 55 tahun tanpa simpanan hari tua secukupnya?

Mendengar rintihan umum, akhirnya PMX benarkan pengeluaran KWSP dalam bentuk cagaran bank.

Ini bermakna, mereka yang terdesak dan memerlukan perbelanjaan bagi menghadapi perayaan dan pembukaan sekolah boleh mencagar KWSP untuk mendapatkan jumlah pinjaman dari bank.

Bukan semua orang boleh meminjam dari bank, tetapi dengan cagaran KWSP ini mereka yang terdesak dapat juga menyelesaikan masalah kewangan.

Idea yang dikemuka PMX ini wajar dikira sebagai situasi menang-menang kerana ia masih lagi menjadi option walaupun dengan kaedah yang sedikit berbeza, namun matlamatnya sampai buat mereka yang benar-benar terdesak.

Jika kita masih marah, imbaslah kembali selama puluh tahun ini, sejak bila option pengeluaran akaun 1 KWSP dibenarkan?

* Edy Noor Reduan ialah Timbalan Presiden Persatuan Media Sosial Malaysia (PEMASSA)