Tiada projek tebatan banjir di Melaka terbengkalai

Laporan Sinar Harian mengenai lebih 5,000 penduduk di Sungai Rambai di sini berharap kerajaan dapat meneruskan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai-Sungai Kesang. Sulaiman (gambar kanan).
Laporan Sinar Harian mengenai lebih 5,000 penduduk di Sungai Rambai di sini berharap kerajaan dapat meneruskan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai-Sungai Kesang. Sulaiman (gambar kanan).
A
A
A

MELAKA - Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di negeri ini termasuk di Sungai Rambai sedang dalam pelaksanaan dan tidak timbul sebarang isu projek terbengkalai.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, semua projek RTB yang diluluskan telah pun memulakan kerja-kerja pembinaan melibatkan Projek RTB Alor Gajah Fasa 1, RTB Sungai Duyong, RTB Bandar Jasin, RTB Bandar Merlimau dan Projek Menaik Taraf Kolam Tebatan Banjir Krubong-Durian Tunggal.

Bagaimanapun di Sungai Rambai katanya, terdapat perkara perlu diselesaikan melibatkan isu persempadanan memandangkan RTB berkenaan membabitkan dua buah negeri iaitu Melaka dan Johor.

"Banjir yang melanda di Jasin terutama di Sungai Rambai melibatkan air sungai yang mengalir membabitkan kedua-dua negeri.

"Jika perkara itu dapat diselesaikan ia dapat berjalan dengan lancar," katanya kepada pemberita ketika bertemu pada Hari Bertemu Rakyat Kerajaan Negeri di Japerun Pengkalan Batu di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Kalsom Noordin.

Sinar Harian pada Khamis melaporkan lebih 5,000 penduduk di Sungai Rambai di sini berharap kerajaan dapat meneruskan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai-Sungai Kesang.

Penduduk mendakwa kegagalan meneruskan projek terbengkalai yang dikatakan telah 40 peratus siap itu menyebabkan lebih banyak kawasan terjejas banjir pada kali ini berbanding tahun sebelumnya.