Projek RTB terbengkalai, penduduk hadapi banjir termenung

Penduduk menunjukkan kawasan Rancangan Tebatan Banjir, (RTB) Sungai Rambai-Sungai Kesang yang terbengkalai sejak enam tahun lalu di Sungai Rambai.
Penduduk menunjukkan kawasan Rancangan Tebatan Banjir, (RTB) Sungai Rambai-Sungai Kesang yang terbengkalai sejak enam tahun lalu di Sungai Rambai.
A
A
A

JASIN - Lebih 5,000 penduduk di Sungai Rambai di sini berharap kerajaan dapat meneruskan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Rambai-Sungai Kesang.

Penduduk mendakwa kegagalan meneruskan projek terbengkalai yang dikatakan telah 40 peratus siap itu menyebabkan lebih banyak kawasan terjejas banjir pada kali ini berbanding tahun sebelumnya.

Penduduk, Abdul Kalam Hassan, 63, berkata, disebabkan projek itu tidak dilaksanakan menyebabkan penduduk terpaksa berdepan 'banjir termenung.'

Menurutnya, projek terusan tebatan banjir itu sepatutnya dibina lurus dari Sungai Kesang terus menuju ke laut supaya limpahan air tidak hanya melalui sungai yang berliku-liku menyebabkan kawasan sekitarnya banjir.

"Walaupun cuaca panas seperti sekarang, namun air lambat surut kerana air 'terperangkap' dan tiadanya sistem pengaliran ke laut.

"Apa yang berlaku laluan terusan itu terhenti setakat laluan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) mengakibatkan limpahan air 'tendang' masuk semula ke dalam sungai sama," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Tambahnya, selagi projek itu tidak dilaksanakan selagi itu masalah banjir yang menghantui penduduk tidak dapat diatasi.

Penduduk Kampung Janda Berhias, Muhammad Nur Rafiq Rosli, 24, berkata, masalah banjir termenung tidak pernah berlaku dalam tempoh yang lama berbanding sebelum ini.

"Sebelum ini cuma ada dua atau tiga buah kampung sahaja hadapi banjir termenung, tapi kali ini sampai empat buah kampung.

"Disebabkan banjir masih tidak banjir surut, banyak urusan harian tergendala, sedangkan sekarang cuaca panas," katanya.

Hasan
Hasan

Sementara itu Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Abd Rahman berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) perlu memastikan projek berkenaan diteruskan selaras dengan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim Ahad lalu.

Ujar beliau, Anwar Ibrahim telah arahkan supaya semua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM600 juta ke atas diluluskan bagi mengelakkan bencana banjir berulang sekali gus demi kebaikan kira-kira 22,000 penduduk di DUN Sungai Rambai.

"Bagi saya ini peluang terbaik untuk kita selesaikan punca berlakunya banjir di Sungai Rambai akibat kegagalan reka bentuk bypass atau terusan pada projek RTB ini," katanya.