Sultan Selangor berkenan rasmi Hospital Cyberjaya

Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat model Hospital Cyberjaya selepas merasmikan hospital itu pada Khamis. - Foto Bernama
Sultan Sharafuddin bersama Tengku Permaisuri Norashikin berkenan melawat model Hospital Cyberjaya selepas merasmikan hospital itu pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Khamis berkenan merasmikan Hospital Cyberjaya terletak dalam daerah Sepang yang dibina dengan kos kira-kira RM508.8 juta.

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni.

Sultan Sharafuddin pada majlis itu berkenan menandatangani plak perasmian Hospital Cyberjaya serta melawat Jabatan Radiologi, Farmasi Pesakit Luar dan Wad Pediatrik hospital berkenaan.

Dibina atas tapak seluas 5.18 hektar, Hospital Cyberjaya berjaya disiapkan dan diserahkan oleh pihak kontraktor kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Kesihatan pada 30 Jun 2021 dan mula beroperasi pada November 2022.

Ia merupakan hospital awam pertama yang menerima penarafan ‘Green Building Index’ (GBI) tahap platinum, berdasarkan kecekapan tenaga, penggunaan air dan bahan mesra alam melalui pengasingan bahan buangan secara efektif.

Hospital Cyberjaya berpotensi jadi hospital rujukan utama

Hospital Cyberjaya berpotensi menjadi hospital rujukan utama sebagai kesiapsiagaan menghadapi apa-apa bencana di pintu masuk negara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ini kerana kedudukan Hospital Cyberjaya yang strategik, selain arena sukan Litar Antarabangsa Sepang dan 'Silicon Valley' Cyberjaya, yang terletak di daerah Sepang, juga akan dapat memanfaatkan perkhidmatan kesihatan hospital berkenaan.

"Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti keperluan untuk menyediakan sebuah mesin pengimejan resonans magnetik (MRI) di Hospital Cyberjaya, untuk menampung keperluan semasa serta peranan hospital ini sebagai hospital rujukan bagi sebarang kejadian bencana KLIA,” katanya dalam ucapan sempena majlis perasmian Hospital Cyberjaya di sini pada Khamis

Dr Zaliha dalam teks ucapannya yang dibacakan timbalannya Lukanisman Awang Sauni berkata, pembinaan Hospital Cyberjaya antara lain bertujuan mengurangkan kadar penghunian katil (BOR) hospital di Lembah Klang yang tinggi, selain mengurangkan kesesakan hospital berdekatan seperti Hospital Serdang, Hospital Kajang dan Hospital Putrajaya.

Beliau berkata, pada masa ini kadar penggunaan katil di hospital awam di daerah Sepang dan Hulu Langat terutamanya Hospital Kajang, melebihi 90 peratus, manakala BOR melebihi 80 peratus di Hospital Serdang dan Hospital Ampang.

Ujarnya, Hospital Cyberjaya yang mempunyai sembilan tingkat merupakan hospital pakar major yang menyediakan perkhidmatan kepakaran canggih dengan lapan dewan bedah, 10 bilik bersalin dan kapasiti 288 katil.

"Insya-ALLAH, Hospital Cyberjaya akan memanfaatkan kira-kira 282,000 penduduk di Sepang, termasuk di kawasan mukim Dengkil dan Labu,” katanya.

Beliau berkata, KKM juga sedang mengkaji untuk mewujudkan perkhidmatan perubatan geriatrik dan perkhidmatan psikiatri di Hospital Cyberjaya dalam masa terdekat, dengan mengambil kira trend peningkatan warga emas dan penularan penyakit mental dalam kalangan rakyat. - Bernama