Nafas baharu bahasa Melayu

A
A
A

AKTA Bahasa Kebangsaan 1963/67 digubal di bawah payung Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan dikuatkuasakan 1 Julai 1971.

Menurut rekod, kali terakhir Akta Bahasa Kebangsaan dipinda adalah pada tahun 1994. Seksyen 2 Akta Bahasa Kebangsaan menetapkan bahawa segala urusan rasmi kerajaan harus menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara dan seksyen ini telah diperkuatkan lagi melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011.

Namun, Akta Bahasa Kebangsaan hanya gah pada nama. Walaupun bahasa Melayu mendapat perlindungan daripada Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan pula digubal sebagai usaha untuk memperkasakan bahasa Melayu, namun Akta Bahasa Kebangsaan yang hanya ada 11 seksyen itu masih belum cukup komprehensif dan ‘bertaring’ untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Pertama, Akta Bahasa Kebangsaan tidak langsung menyentuh tentang implikasi perundangan jika mana-mana peruntukan dalam Akta Bahasa Kebangsaan tidak diikuti. Tidak terdapat sebarang peruntukan dalam Akta Bahasa Kebangsaan yang membolehkan mana-mana pihak dikenakan sebarang hukuman atau tindakan jika mana-mana peruntukan sedia ada dalam Akta Bahasa Kebangsaan tidak dipatuhi.

Hal ini jelas menunjukkan bahawa usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di negara ini masih belum sampai ke tahap yang sepatutnya.

Jika tiada peruntukan implikasi perundangan kepada ketidakpatuhan terhadap ABK, kepentingan bahasa Melayu hanya akan dipandang ringan oleh banyak pihak.

Kedua, tahap kebergantungan kita terhadap bahasa Inggeris masih tinggi. Contoh, Seksyen 5 Akta Bahasa Kebangsaan menetapkan bahawa penggunaan bahasa Inggeris dibenarkan di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Malah, seseorang ahli Parlimen atau ahli DUN boleh dibenarkan untuk memberikan ucapan dalam bahasa Inggeris dengan izin Yang Dipertua Dewan.

Artikel Berkaitan:

Ketiga, bahasa Inggeris masih menjadi bahasa pilihan dalam prosiding mahkamah. Walaupun Seksyen 8 Akta Bahasa Kebangsaan menetapkan bahawa bahasa Melayu mesti digunakan dalam mana-mana mahkamah di Malaysia (kecuali pemberian keterangan oleh seseorang saksi), bahasa Inggeris masih menjadi pilihan dalam kalangan sesetengah peguam dan hakim.

Pengecualian diberikan dalam seksyen sama bagi penggunaan bahasa Inggeris sering disalahgunakan oleh sesetengah peguam yang lebih selesa berbahasa Inggeris dan kurang fasih berbahasa Melayu.

Tujuan pengecualian agar prosiding dijalankan dalam bahasa Inggeris adalah supaya orang yang terlibat dalam prosiding tersebut memahami apa yang sedang berlaku, bukannya sebagai ‘lesen’ bagi peguam yang tidak gemar berbahasa Melayu. Para hakim sebenarnya memainkan peranan yang sangat penting dalam hal ini.

Keempat, Akta Bahasa Kebangsaan perlu mempunyai peruntukan yang menetapkan bahawa jika terdapat sebarang dokumen melibatkan dwibahasa atau lebih daripada dua bahasa, dokumen dalam bahasa Melayu akan mengatasi (prevail) semua dokumen dalam bahasa lain jika terdapat kekeliruan atau perbezaan makna.

Hal ini akan menyebabkan bahasa Melayu diangkat lebih tinggi martabatnya dan Akta Bahasa Kebangsaan akan menjadi lebih ‘bertaring’.

Akta Bahasa Kebangsaan perlu diberikan kuasa dalam usaha memastikan bahasa Melayu tidak diketepikan. Sewajarnya, Akta Bahasa Kebangsaan perlu mempunyai peruntukan yang lebih ketat dalam memperkasakan bahasa Melayu di negara ini.

Setelah hampir 60 tahun merdeka, tahap kebergantungan kita kepada bahasa Inggeris masih terlalu tinggi. Hal itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa kita sendiri kurang yakin dengan bahasa Melayu sedangkan bahasa ini pernah menjadi lingua franca pada suatu ketika dahulu. Kegemilangan bahasa Melayu perlu dikembalikan.

Tindakan memperkukuh Akta Bahasa Kebangsaan bukan bermaksud mengabaikan bahasa Inggeris mahupun bahasa lain di negara ini. Tetapi ini amat selaras dengan manifesto kerajaan hari ini bahawa mereka mahu memperkasakan bahasa Melayu dan berimpian mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama di rantau ini.

Akhirulkalam, Akta Bahasa Kebangsaan perlu diberikan nafas baharu dalam upaya memperkasakan bahasa kebangsaan di Malaysia. Sejak kali terakhir dipinda pada tahun 1994, masih terlalu banyak kelemahan dalam Akta Bahasa Kebangsaan yang perlu mendapat perhatian pihak kerajaan dan penggubal undang-undang.

Semoga bahasa Melayu lebih giat diperkasakan melalui pengukuhan undang-undang sedia ada. Bahasa jiwa bangsa.

* Penulis ialah peguam di HaemeHashim & Co