Salah identiti: KDN tubuh jawatankuasa siasatan

Saifuddin akan membayar pampasan kepada keluarga terlibat ekoran telah membelanjakan sehingga RM20,000 untuk persiapan pengebumian.
Saifuddin akan membayar pampasan kepada keluarga terlibat ekoran telah membelanjakan sehingga RM20,000 untuk persiapan pengebumian.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan bagi menyiasat kekeliruan identiti tahanan yang didakwa sudah meninggal dunia, sebaliknya masih berada di Penjara Sungai Buloh.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap kecuaian yang berlaku berikutan ia melibatkan keluarga mangsa.

“Saya akui ada elemen kecuaian dan kelemahan sistem, sebab itu kita arahkan penubuhan jawatankuasa siasatan serta-merta dan arahan saya adalah tidak boleh ada sebarang kompromi terhadap aspek kecuaian.

“Kita akan sentiasa mengambil langkah penambahbaikan, adakah sistem sedia ada ini tidak memadai dari sudut identifikasi. Sekiranya kalau perlu explore idea-idea lain, kita terbuka,” katanya dalam sesi penggulungan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, sebuah keluarga di Tampin, Negeri Sembilan dimaklumkan mengenai kematian anak lelaki mereka, namun terkejut apabila mengetahui anaknya masih hidup melalui panggilan video yang dilakukan pihak penjara.

Dalam pada itu Saifuddin Nasution memaklumkan, beliau secara peribadi akan membayar pampasan kepada keluarga berkenaan ekoran telah membelanjakan sehingga RM20,000 bagi persiapan pengebumian.

“Atas perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh keluarga terlibat, saya sendiri akan bayar pampasan itu, tiada isu. Yang Berhormat (M Kulasigaran) boleh maklumkan terus (kepada keluarga terlibat).

“Esok kita boleh sampaikan sebab mereka sudah lakukan persiapan, tidak adil untuk mereka sebab bukan anak mereka yang meninggal.

“Dia datang daripada keluarga yang susah, belanja RM20,000 itu besar, jadi saya akan selesaikan (pampasan) dalam tempoh kurang 48 jam,” jelasnya.