Bersih terima kesediaan PM reformasi empat institusi

Bersih menyambut baik sikap terbuka kerajaan untuk memberikan CDF yang sama rata kepada ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang.
Bersih menyambut baik sikap terbuka kerajaan untuk memberikan CDF yang sama rata kepada ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang.
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menyambut baik sikap terbuka kerajaan untuk memberikan Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) dan mempunyai perancangan bagi empat lagi reformasi institusi.

Jawatankuasa Pemandu Bersih menerusi kenyataan berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jelas menyatakan bahawa beliau secara prinsip tidak menentang pemberian CDF yang sama rata kepada ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang.

Menurut kenyataan itu, Bersih sekian lama menyatakan bahawa pemberian CDF yang saksama adalah perlu bagi memperkasakan demokrasi berbilang parti dan menstabilkan politik dengan mewujudkan padang yang sama rata dengan mengurangkan insentif terhadap wakil rakyat untuk diugut atau digoda supaya berlaku khianat bagi mendapatkan peruntukan.

“CDF seharusnya disediakan di bawah akta Parlimen dan bukannya melalui budi bicara Perdana Menteri.

“Tiba masanya untuk kedua-duanya kerajaan dan pembangkang berunding bagi mengkanunkan undang-undang ini, malah jika perlu pembangkang boleh membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi isu ini.

“Undang-undang CDF ini juga perlu dikanunkan di setiap negeri. Tindakan Perak yang memberikan CDF yang saksama kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) sejak Disember 2020 sebagai sebahagian rundingan kestabilan politik wajar dipuji namun belum ada perundangan yang dikanunkan,” kata kenyataan itu pada Rabu.

Jelas kenyataan itu, dalam kes peruntukan CDF yang paling tidak adil, Kerajaan Sarawak memberikan ADUN kerajaan sekurang-kurangnya RM8 juta setahun tetapi satu sen pun tidak diberikan kepada pembangkang.

“Empat reformasi institusi yang dituntut Bersih ialah diwujudkan Akta Pembiayaan Politik; tempoh had 10 tahun Perdana Menteri; pelantikan jawatankuasa Parlimen bagi membolehkan semua portfolio kementerian dapat dipantau dan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengkaji pemisahan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan pejabat pendakwaraya yang bebas politik,” kata kenyataan itu.

Bersih dalam pada itu juga berharap pembangkang juga akan memberi respons yang positif kepada kedua-dua Kerajaan dan kumpulan masyarakat sivil untuk menempa agenda bersama bagi reformasi institusi.