Pajakan tanah Mutiara Taman Negara dilanjutkan 20 tahun

Wan Rosdy menerima cek bayaran khas dan bayaran sewaan pajakan tahun semasa (2022 dan 2023) yang diserahkan pihak THR Hotel (Kuala Tahan) Sdn Bhd di Majlis Perbandaran Bentong pada Rabu.
Wan Rosdy menerima cek bayaran khas dan bayaran sewaan pajakan tahun semasa (2022 dan 2023) yang diserahkan pihak THR Hotel (Kuala Tahan) Sdn Bhd di Majlis Perbandaran Bentong pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Pajakan tanah Mutiara Taman Negara (MTN) seluas 16 hektar di Kuala Tahan, Jerantut dilanjutkan selama 20 tahun bermula 1 Oktober 2021 sehingga 30 September 2041.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kawasan pajakan terbahagi kepada Plot A (6 hektar), Plot B (4 hektar) dan Plot C (6 hektar).

Menurutnya, keputusan itu dibuat melalui mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pahang Ke-34 pada 15 September 2021.

"Perjanjian pajakan dan penyelenggaraan tanah itu bagi tujuan penyelenggaraan dan operasi kawasan resort di Mutiara Taman Negara oleh syarikat Tradewinds Corporation Berhad (TCB).

"Bagi persetujuan pajakan baharu ini, beberapa proses telah dibuat bagi memastikan perjanjian penuh mengandungi obligasi dan terma yang relevan serta perjanjian dahulu masih boleh diguna pakai termasuk mengenai pengendalian dan penyelenggaraan Kompleks Kuala Tahan, Jerantut, perjanjian tambahan dan perjanjian pajakan," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Wan Rosdy sebelum itu hadir ke Majlis Penyerahan Perjanjian Pajakan dan Penyelenggaraan Tanah Mutiara Taman Negara antara Pemegang Amanah Taman Negara (Pahang) dengan THR Hotel (Kuala Tahan) Sdn Bhd sebelum mesyuarat MMK di Majlis Perbandaran Bentong.

Beliau berkata, perjanjian itu turut ditimbang tara dengan pengurangan melalui hapus kira pajakan sewa dan sumbangan utiliti bagi tahun 2021 oleh kerajaan negeri kepada TCB.

"Sempena pertukaran perjanjian pajakan baharu ini turut diadakan penyerahan dua cek bagi bayaran khas kepada kerajaan Pahang berjumlah lebih RM3.5 juta dan bayaran kadar sewaan pajakan tahun semasa (2022 dan 2023), RM1.29 juta.

"Jumlah keseluruhan yang telah diterima kerajaan negeri melalui bayaran khas dan sewa pajak ini berjumlah lebih RM4.8 juta," ujarnya.

Tambah beliau, melalui perjanjian yang termeterai itu diharap dapat membantu dalam pertumbuhan ekonomi yang kukuh kepada negeri ini.