167 ahli Parlimen selesai bahas Belanjawan 2023

Persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi penggulungan oleh setiap kementerian selama dua hari bermula Rabu. - Foto Bernama
Persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi penggulungan oleh setiap kementerian selama dua hari bermula Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 167 ahli Parlimen selesai membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 bagi peringkat dasar di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Sesi perbahasan itu berlangsung enam hari bermula 27 Februari, selepas Belanjawan 2023 dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 24 Februari lepas.

Sebelum menangguhkan sidang dewan pada jam 10.40 malam, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Noor mengucapkan tahniah kepada semua ahli Parlimen yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan.

Menurut takwim Parlimen, persidangan Dewan Rakyat diteruskan dengan sesi penggulungan oleh setiap kementerian selama dua hari bermula esok.

Terdahulu antara perkara yang dibangkitkan pada sesi perbahasan hari ini, Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) berharap Perdana Menteri dapat memastikan Belanjawan 2023 tidak dicemari dengan isu-isu ketirisan.

Beliau berkata, kerajaan seharusnya memastikan peruntukan-peruntukan yang telah dirancang dapat disampaikan secara berhemah dan beramanah terus kepada rakyat.

"Jangan berlaku ketirisan, jangan berlaku penyelewengan, jangan berlaku pecah amanah, jangan berlaku amalan rasuah dan yang paling penting kita mahu peruntukan ini diberikan kepada rakyat yang telah hampir tiga tahun hidup derita disebabkan krisis ekonomi, kesihatan dan juga krisis politik,” katanya.

Sementara itu, Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) menggesa kerajaan supaya mula membangunkan ekonomi penuaan dari sekarang.

Chean Chung berkata, ini berikutan Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang tahun 2030 dengan 15 peratus daripada penduduknya bakal berusia 60 tahun dan ke atas.

"Ini harus didukung oleh fasiliti pengangkutan awam dan kemudahan lestari untuk golongan warga emas, agar taraf kualiti kehidupan serta kelangsungan hidup mereka terjamin,” katanya.

Untuk itu beliau mencadangkan supaya kerajaan meluaskan konsep Bas Francais atau Bas Mini yang pernah dipraktikkan dahulu dengan melibatkan usahawan-usahawan swasta yang berminat dalam industri pengangkutan.

Persidangan dewan bersambung esok. - Bernama