Kerajaan lulus naik taraf BSI, KSAB bernilai RM741.3 juta

Hasrat kerajaan negeri Johor untuk menambah lorong motosikal juga diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM27.7 juta. - Foto Bernama
Hasrat kerajaan negeri Johor untuk menambah lorong motosikal juga diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM27.7 juta. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan telah meluluskan projek bagi menaik taraf Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar bernilai RM741.3 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, perkara itu diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor, pada Isnin.

Beliau berkata, Ahmad turut mengumumkan daripada nilai tersebut, sebanyak RM96.2 juta adalah peruntukan untuk tahun ini.

"Syukur alhamdulillah, hasrat kerajaan negeri Johor yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menambah lorong M-Bike motosikal juga diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM27.7 juta

"Beberapa kertas kerja telah dibincangkan antaranya ialah projek-projek yang sedang berjalan serta inisiatif yang akan, sedang dan telah dilaksanakan yang dijangka akan memberikan impak positif, " katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya, pada Selasa.

Mohamad Fazli berkata, penambahan sebanyak 25 lorong keluar dari Malaysia dan 25 lorong masuk ke dalam negara akan menjadikan tambahan sebanyak 50 lorong baharu berbanding 100 lorong sedia ada.

"Dijangkakan dengan jumlah keseluruhan 150 lorong M-bike keluar dan masuk ke Johor ini, kesesakan dapat dikurangkan secara optimum.

"Semoga usaha dan kerja keras serta kerjasama erat kerajaan negeri dan pusat ini dapat membantu menyelesaikan masalah kesesakan yang selama ini membelenggu rakyat Malaysia yang berulang-alik ke Singapura," katanya. - Bernama