'Kopi dadah' bernilai RM17.8 juta dirampas

Muhamad Zaki (kanan) menunjukkan dadah yang dibungkus dalam pembalut jenama kopi.
Muhamad Zaki (kanan) menunjukkan dadah yang dibungkus dalam pembalut jenama kopi.
A
A
A

PASIR MAS - Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) merampas 495 kilogram (kg) dadah jenis syabu bernilai lebih RM17.8 juta di Kampung Pohon Buluh malam Selasa.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, dalam kejadian jam 8.30 malam itu, anggota terbabit melakukan rondaan sebelum terserempak dengan sebuah kereta yang ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.

Menurut beliau, pasukan itu kemudian melakukan pemeriksaan dan menemui banyak guni yang diletakkan di tempat duduk belakang yang sudah dibuang kerusi.

"Pemeriksaan lanjut menemui banyak peket kecil dengan logo jenama kopi berisi dadah jenis syabu," katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Tambah Muhamad Zaki, kesemua dadah itu disyaki diseludup dari negara jiran.

Katanya, polis percaya penyeludup meninggalkan kenderaan di kawasan itu selepas mendapati ada operasi atau menerima maklumat daripada individu tertentu.

"Kesemua dadah ini dipercayai untuk pasaran seluruh negara dan boleh dibekalkan kepada lebih 4.9 juta penagih dadah, selain akan diseludup ke Lembah Klang" katanya.

Muhamad Zaki berkata, kenderaan dan kesemua barangan dirampas, manakala kes disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Jelasnya, polis Kelantan termasuk Pasukan Gerakan Am (PGA) akan memperketatkan lagi kawalan di sempadan bagi mengekang penyeludupan dadah.