Isu scam: KKD akan panggil penyedia aplikasi Telegram

Orang ramai yang hadir pada program Town Hall Rakyat bersama Fahmi di Kompleks Media Karangkraf pada Isnin.
Orang ramai yang hadir pada program Town Hall Rakyat bersama Fahmi di Kompleks Media Karangkraf pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memanggil penyedia aplikasi Telegram dalam masa terdekat bagi membincangkan isu berkaitan keselamatan pengguna.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, kerajaan tidak akan berkompromi dengan isu berkenaan walaupun aplikasi itu digunakan agensi kerajaan termasuk Majlis Keselamatan Negara bagi menyebar maklumat kepada orang ramai.

“Telegram memang kita lihat agak bermasalah, macam-macam maklumat ada dimasukkan di situ dan aktiviti scammer juga banyak tetapi pada masa sama, kita tahu ia adalah satu saluran untuk sampaikan maklumat kepada khalayak awam.

"Jadi perkara itu perlu diteliti dan kita akan memanggil pihak Telegram untuk berbincang bagi membantu pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya.

“Bukan hanya terhadap scammer sekiranya ada bahan lucah dan ekstremisme (dimuat naik) tetapi ia perlu dibendung dan akan dilakukan dengan segera,” katanya pada sidang media selepas program Town Hall Rakyat di Kompleks Media Karangkraf pada Isnin.

Program Town Hall Rakyat bersama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang dihoskan oleh Azhar Sulaiman di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID
Program Town Hall Rakyat bersama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang dihoskan oleh Azhar Sulaiman di Kompleks Kumpulan Karangkraf pada Isnin. Foto SINAR HARIAN / MOHD HALIM ABDUL WAHID

Dalam pada itu Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berharap pihak Telegram dapat memberi kerjasama sebagaimana yang pernah dilakukan penyedia perkhidmatan lain sebelum ini.

"Kalau mantan Perdana Menteri pernah jadi mangsa kepada scammer melalui Telegram, apatah lagi rakyat biasa. Jadi saya lihat isu ini sebagai sesuatu yang serius dan perlu ditangani segera, saya akan usahakan.

"Saya percaya pegawai kementerian sudah memanggil mereka dan saya tunggu maklum balas selanjutnya. Bila isu scam seperti ini, ia amat membimbangkan (kerana) Datuk Seri Ismail Sabri juga pernah kena impersonation,” katanya.