Pelakon tumbuk isteri: 'Kertas siasatan telah lengkap'

Khamis lalu, isteri kepada pelakon terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata. Gambar kecil: Hussein
Khamis lalu, isteri kepada pelakon terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata. Gambar kecil: Hussein
A
A
A

SHAH ALAM - Kertas siasatan membabitkan pelakon yang disyaki menumbuk isterinya di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Sungai Buloh akan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, polis telah mendapat perintah mahkamah bertujuan menghalang pelakon itu daripada melakukan perbuatan sama terhadap mangsa sementara siasatan dijalankan.

"Kertas siasatan telah lengkap dan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya esok (Selasa).

"Sama ada pelakon terbabit akan dipanggil semula itu bergantung kepada keputusan pihak Timbalan Pendakwa Raya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Pada Ahad, Sinar Harian melaporkan lelaki berusia 29 tahun itu ditahan kira-kira jam 12 tengah hari ketika hadir di Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Pelakon itu kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sebaik selesai diambil keterangan pada petang hari sama.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Khamis lalu, isteri kepada pelakon terbabit membuat laporan polis di Balai Polis Jinjang mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali sehingga cedera di bahagian mata.

Difahamkan, kejadian berlaku ketika mangsa bersama suaminya berada di dalam kereta yang berhenti di kawasan R&R terbabit.