Pelakon tumbuk muka isteri hingga cedera

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SUNGAI BULOH - Isteri kepada seorang pelakon membuat laporan polis mendakwa ditumbuk suaminya beberapa kali hingga cedera di bahagian mata, awal pagi Khamis.

Sumber berkata, mangsa berusia lingkungan 20-an itu membuat laporan berhubung kejadian di Balai Polis Jinjang di sini, pada jam 6.30 pagi Khamis.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa bersama suaminya berusia lingkungan 20-an berada di dalam kereta yang berhenti di kawasan rehat dan rawat (R&R) di sekitar Sungai Buloh.

"Pergelutan dipercayai berpunca apabila mangsa menjawab panggilan telefon semasa perbincangan antara mereka.

"Pelakon itu bertindak menumbuk muka isterinya sebanyak tiga kali menyebabkan mangsa cedera di bahagian mata," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

"Siasatan lanjut berhubung kejadian ini sedang dijalankan, kita dalam proses untuk merakam percakapan mangsa dan saksi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan," katanya.