Pemuda Pas sedia tampil calon muda berkualiti, berpotensi pada PRU15

Ahmad Faisal (dua kiri) menerima watikah pelantikan Ketua Pemuda Pas Perak daripada bekas penyandangnya, Mohd Akmal (dua kanan) baru-baru ini.
A
A

IPOH - Dewan Pemuda Pas Perak bersedia menampilkan calon pemuda berpotensi dan berkualiti demi memastikan kemenangan parti itu pada PRU15.

Keyakinan itu diluahkan ketua pemuda parti itu, Ahmad Faisal Mohd Puait,38, susulan baharu dilantik menyandang jawatan itu bagi menggantikan ADUN Selama, Mohd Akmal Kamaruddin yang sudah melebihi had umur.

Ahmad Faisal berkata, persediaan pemuda Pas Perak bagi menghadapi PRU15 sudah digerakkan lebih awal pada masa kini susulan kemampuan dua calon pemuda parti itu memenangi kerusi Dun Selama dan Dun Kubu Gajah pada PRU14.

Menurutnya, kejayaan itu memberikan tambahan perangsang kepada Pemuda Pas Perak untuk bertanding lebih banyak kerusi, sekaligus mengetengahkan lebih banyak pemimpin pelapis baharu parti pada masa hadapan.

"Pelantikan saya menyandang jawatan ketua pemuda ini merupakan satu amanah besar dan saya sudah memberi isyarat kepada jentera pemuda parti untuk terus bekerja bersungguh-sungguh dan tanpa henti meskipun musim pilihanraya lambat lagi.

"Saya juga memberi penekanan kepada jentera Pemuda Pas Perak supaya sentiasa berusaha memahamkan peranan dan objektif Islam diperjuangkan parti, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Islam negara ini bahkan kepada masyarakat bukan Islam.

"Kita harus menyedarkan semua pihak bahawa sekiranya mereka memahami agama Islam, mereka boleh menilai sendiri objektif perjuangan Pas dalam politik negara dan kita sentiasa berkawan dengan sesiapa sahaja asalkan mereka boleh terima Islam," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Ahmad Faisal yang juga Timbalan Ketua Pemuda kawasan Ipoh Timur berkata, antara cabaran utama dihadapi pihaknya adalah dalam usaha mengharmonikan kerjasama politik dengan sesiapa sahaja termasuk kerjasama ta'awun dengan Umno baru-baru ini.

Menurutnya, di sebalik ada dakwaan ahli Pemuda Pas semakin berkurangan lantaran keputusan berta'awun dengan UMNO, pihaknya melihat semangat Pemuda Pas Perak dalam merencanakan kemenangan parti pada pilihan raya umum akan datang langsung tidak terjejas.

"Bahkan jumlah keahlian kita semakin bertambah dalam kalangan pengundi muda kerana kebanyakan mereka termasuk ahli-ahli UMNO positif bekerjasama dengan Pas demi penyatuan Islam.

"Dalam masa terdekat, Pemuda Pas Perak akan memperkukuhkan organisasi pentadbiran jentera pemuda terlebih dahulu dan akan mengisi segera segala jawatan yang dikosongkan oleh pemimpin terdahulu," katanya.

Ahmad Faisal yang juga Pengarah Pilihanraya Pemuda Pas Perak berkata, pihaknya berjanji akan sentiasa memperhalusi dan bersuara lantang mengkritik kerajaan negeri dan pusat sekiranya terdapat tindakan dan polisi kerajaan dilihat tidak menguntungkan rakyat dan Islam.

*JAWATANKUASA DEWAN PEMUDA PAS NEGERI PERAK 2019/2021*

*KETUA PEMUDA* Ahmad Faisal Ahmad Fuad

*TIMBALAN KETUA* Mohd Hafez Sabri

*NAIB KETUA* Mohd Zahid Abu Bakar

*AHLI JAWATANKUASA* 1. Adil Fadzil 2. Abdul Hadi Azman 3. Syakirin Hussin 4. Omar Adam 5. Qahar 6. Ammar Jamaluddin 7. Ammar Arif Ahmad Poad 8. Zulfadhli Zainal 9. Hafizul Badrul Hisyam 10. Mohamad Helmi Affindi Ali