1,291 kes penderaan seksual kanak-kanak

Dr Faridah sewaktu melawat reruai polis pada Seminar Kesedaran Pencegahan Jenayah Seksual Kanak-Kanak peringkat negeri Terengganu 2019 di Hotel Paya Bunga, di sini.
Dr Faridah sewaktu melawat reruai polis pada Seminar Kesedaran Pencegahan Jenayah Seksual Kanak-Kanak peringkat negeri Terengganu 2019 di Hotel Paya Bunga, di sini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Sejumlah 1,291 kes penderaan seksual kanak-kanak dirujuk kepada pasukan SCAN (Pasukan penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang disyaki) hospital sepanjang tahun lalu.

Pengarah Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan, Dr Faridah Abu Bakar berkata, jumlah itu lebih satu pertiga daripada 3, 308 kes penderaan yang direkodkan.

Menurutnya, lebih merisaukan, kanak-kanak perempuan lebih tinggi peratusan menjadi mangsa dera dengan majoriti pelaku adalah mereka yang dikenali mangsa, seperti saudara terdekat dan teman lelaki.

“Sebenarnya, banyak kes yang dirujuk kepada kita menunjukkan kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah seksual ini tidak mengetahui perbuatan dilakukan penjenayah terlibat sebenarnya menyalahi undang-undang.

“Disebabkan itu, peranan ibu bapa dalam memberi pendedahan kepada anak-anak mereka sangat penting agar kanak-kanak sedar dan seterusnya mengadu kepada orang dewasa sekiranya menjadi mangsa perbuatan seksual,” katanya.

DR FARIDAH ABU BAKAR
DR FARIDAH ABU BAKAR

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Seminar Kesedaran Pencegahan Jenayah Seksual Kanak-kanak peringkat negeri Terengganu 2019 di Hotel Paya Bunga, di sini hari ini.

Program itu anjuran Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, dengan kerjasama Persatuan Profesion Psikologi Kaunseling, Kementerian Kesihatan Malaysia (PSIKEM).

Artikel Berkaitan:

Jelas Dr Faridah, ibu bapa perlu memainkan peranan lebih proaktif dalam memberikan pendedahan awal kepada anak masing-masing, bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa perbuatan jenayah seksual.

Anak-anak kecil ini katanya, perlu dididik tentang batasan merangkumi pergaulan, sentuhan fizikal dan perkataan.

“Seminar ini contohnya, adalah salah satu inisiatif dalam memberikan pendedahan awal kepada ibu bapa, guru, pendidik dan masyarakat tentang bagaimana mengelakkan daripada berlakunya kejadian jenayah seksual kepada kanak-kanak.

“Pemangsa kepada jenayah seksual ini biasanya tidak dapat dikenali melalui personaliti kerana pelakunya boleh terdiri daripada sesiapa sahaja.

“Sebab itu pentingnya ibu bapa dan masyarakat dalam meningkatkan pengetahuan, kesedaran dan kemahiran mengendalikan kes-kes jenayah seksual khususnya kepada kanak-kanak,” katanya.