'Saya tak terlibat, mungkin ada kerja sebelum selesai' - Azalina

Azalina dan Laporan Sinar Harian pada Jumaat
Azalina dan Laporan Sinar Harian pada Jumaat
A
A
A

KOTA TINGGI - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, beliau tidak terlibat secara peribadi dalam pelantikan semula Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Beliau berkata, Peguam Negara hanya bertanggungjawab kepada Perdana Menteri dan bukan kepadanya sebagai Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi.

"... mungkin Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) ada alasan tersendiri untuk menyambung lantikan Peguam Negara untuk tempoh enam bulan tetapi bagi saya, apa yang sebenarnya perlu kita lihat ialah mungkin ada kerja yang belum selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Pelancaran Program Celik Kewangan Klinik Insolvensi dan Klinik Bantuan Guaman pada Sabtui ketika diminta mengulas tindakan sesetengah pihak di media sosial yang mempersoal penglibatan beliau dalam pelantikan semula Idrus.

Beliau juga berkata, selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memperkenan pelantikan semula itu selepas menerima nasihat Perdana Menteri.

Pada Jumaat, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali mengumumkan Idrus dilantik semula sebagai Peguam Negara untuk tempoh enam bulan berkuat kuasa 6 Mac ini.

Dalam perkembangan lain, Azalina berkata, Akta Insolvensi 1967 [Akta 360] yang akan dipinda bakal dibawa ke Parlimen awal bulan depan.

Beliau berkata, terdapat enam cadangan dasar akan dibawa antaranya membuat penambahbaikan kepada peruntukan pelepasan secara automatik agar bankrap boleh dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempoh yang singkat.

"Perdana Menteri dalam ucapan Belanjawan baru-baru ini ada menyebut mengenai insolvensi untuk pelepasan kebankrapan dan kita sasar pelepasan atas pindaan Akta Insolvensi ini dalam (melibatkan) 130,000 orang daripada 260,000 kes,” katanya.

Azalina juga berkata Jabatan Perdana Menteri akan menambah baik dan memperluas bidang kuasa Jabatan Bantuan Guaman selain Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan melalui akta khusus dan agensi tertentu untuk memberikan perkhidmatan termasuk dalam kes jenayah. - Bernama