Lapan masjid jadi perintis pupuk amalan hijau

Shamsul Bahar (kiri) dan Abdul Hadi (kanan) bersama dua wakil masjid yang menerima peruntukan RM10,000 ketika Kempen Masjid Hijau Pengurusan Aset Air Berhad di Masjid Asy Syuja'ah Merlimau pada Sabtu.
Shamsul Bahar (kiri) dan Abdul Hadi (kanan) bersama dua wakil masjid yang menerima peruntukan RM10,000 ketika Kempen Masjid Hijau Pengurusan Aset Air Berhad di Masjid Asy Syuja'ah Merlimau pada Sabtu.
A
A
A

JASIN - Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) syarikat milik penuh Kementerian Kewangan memperuntukkan sebanyak RM80,000 dalam usaha memupuk semangat amalan hijau dan kelestarian alam sekitar di lapan masjid di Kelantan dan Melaka.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Hadi Ali berkata, daripada jumlah itu, empat masjid di Melaka terpilih untuk melaksanakan projek perintis berkenaan dan selebihnya merupakan masjid dan surau di Kelantan.

Menurutnya, antara masjid terpilih ialah Masjid Asy Syuja'ah dan Masjid Jamek Ar-Rahim, Kampung Tengah Padang di Merlimau selain Masjid Al Wakil Lubok China dan Masjid Al-Hafiz Kampung Tengah di Alor Gajah.

Katanya, tiga masjid di Kelantan pula ialah Masjid Razaleigh, Masjid At Taqwa Kampung Lembaga Gua Musang dan Masjid Buluh di Jalan Kuala Krai-Gua Musang selain Surau Ar-Raudhah Bandar Utama Gua Musang.

"Pemilihan masjid dan surau ini berdasarkan kedudukannya yang terletak dalam jajaran projek pembinaan aset air yang dibangunkan oleh PAAB.

"Ia termasuk sama ada projek pembinaan atau pembesaran loji rawatan air, projek pemasangan paip air serta tangki imbangan di Merlimau dan Alor Gajah serta jajahan Gua Musang, Kelantan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Kempen Masjid Hijau Pengurusan Aset Air Berhad di Masjid Asy Syuja'ah Merlimau di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor; Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Abd Rashid Ab Rahman dan Ketua Pegawai Operasi PAAB, Zulkiflee Omar.

Jelas beliau, empat elemen diberikan penekanan antaranya penjimatan penggunaan air, pengurangan penjanaan sisa buangan secara kitar semula dan pengurusan sisa buangan yang teratur serta penggalakan pembelian produk hijau.

Menurutnya, MGTC akan memantau pematuhan amalan hijau di setiap masjid dan surau yang terpilih dari semasa ke semasa hingga mendapat penarafan diamond menerusi program Cabaran Bandar Rendah Karbon 2030.

"Justeru, setiap masjid dan surau menerima dana sebanyak RM10,000 bagi pelaksanaan amalan hijau termasuk pemasangan produk cekap air dan tenaga, cekap pengurusan sisa buangan dan penggunaan produk hijau," katanya lagi.