Ayda Jebat 'betta fish' juara TMSMY3

No Image Caption
A
A
A

BETTA Fish atau figura sebenarnya, penyanyi Ayda Jebat diumumkan sebagai juara The Masked Singer Malaysia 3 (TMSMY3).

Membawakan lagu Titanium nyanyian asal David Guetta ft Sia, Betta Fish berjaya menewaskan empat maskot lain manakala untuk segmen kedua duet bersama artis jemputan pula, Betta menyampaikan lagu berjudul Salam Terakhir bersama Marsha Milan.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat membawa pulang hadiah sebuah trofi seperti mana mengikut format negara-negara lain.

Tempat kedua pula dimenangi oleh Nyoq Muda yang disarungkan oleh Syamel manakala kostum Piza Panas yang dipakai oleh Han Byul mendapat tempat ketiga.

Sementara itu tempat keempat pula menjadi milik Dewi Angsa (Mimi Fly) dan kelima pula adalah Brokoli (Hael Husaini).

Setiap pemenang membawa pulang trofi The Masked Singer Malaysia.

Selain Misha dan Elly, juri lain yang menggalas tanggungjawab adalah Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Shuib Sepahtu, Didie Alias, Atu Zero serta Emma Maembong.

Manakala Ella Aminuddin merupakan juri tetap untuk tiga musim berturut-turut sementara pengacara tersohor, Datuk AC Mizal menggalas tugas sebagai hos sekali lagi.

TMSMY menggunakan format asal program realiti popular dari Korea Selatan, The King of Mask Singer yang juga diadaptasi di negara-negara lain seperti Indonesia, Thailand, China dan Amerika Syarikat.

Sesi rakaman TMSMY3 dijalankan di Putrajaya International Convention Centre (PICC).

TMSMY3 bersiaran setiap Jumaat, jam 9.00 malam di Astro Warna HD (saluran 107). - Awani