100 hari: Malaysia Madani, Harimau Asia kembali mengaum

Gambar kecil: Awang Azman, Shamrahayu Ab Aziz. Esok, genap 100 hari Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10. - Foto Bernama
Gambar kecil: Awang Azman, Shamrahayu Ab Aziz. Esok, genap 100 hari Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Tempoh 100 hari bukan satu masa yang begitu panjang, namun cukup untuk memperlihatkan komitmen dan ketegasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan Malaysia kembali ‘mengaum’ sebagai Harimau Asia menerusi gagasan Malaysia Madani diperkenalkannya.

Langkah ke arah menguatkan ekonomi negara disusun dan diawalkan dengan pembentukan barisan kerajaan berpaksikan integriti dan akauntabiliti, konsisten dengan ‘perang’ terhadap rasuah yang dilancarnya sebaik mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10, 24 November lepas.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Profesor Madya Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz berkata, penekanan kepada isu itu dalam kerangka kerajaan adalah penting dan ini yang sentiasa ditekan perdana menteri sepanjang tempoh yang singkat ini.

"Walaupun ada kemungkinan mereka yang cakap lambat dari segi implementasi, contohnya pengenalan program atau inisiatif baharu untuk rakyat, tetapi strategi perdana menteri dalam konteks ini penting, sebab beliau memerlukan kerangka kerajaan yang faham terlebih dahulu dengan aspirasi yang cuba dicapainya,” katanya.

Dalam pendekatannya ke arah barisan kabinet yang lebih bersepakat, Anwar turut memperkenalkan Permukiman Menteri-Menteri Kerajaan Perpaduan yang diisi dengan sesi taklimat khas mencakupi aspek penting ke arah pemantapan penyampaian perkhidmatan dan pengukuhan tata kelola kerajaan.

Juga ke arah agenda islah dan reformasi dalam pentadbiran kerajaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan bahawa di bawah urus tadbir pentadbiran kerajaan baharu tidak boleh lagi berlaku kelulusan perolehan tanpa tender.

Mengimbau kembali sidang media pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, Anwar juga memberi jaminan kerajaan yang dibentuknya tidak akan bertolak ansur dalam menjamin hak kewarganegaraan, peluang mengiktiraf hak semua kaum, agama dan wilayah di negara ini.

Ahli Parlimen Tambun itu turut memperkenalkan hala tuju Kerajaan Perpaduan, iaitu Malaysia Madani sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata perwatakan tegas Anwar ini turut ditonjolkan dari tindakan dan keputusannya yang mengetepikan agenda bersifat populis, walaupun ia sebenarnya boleh membantu memberi rating penerimaan rakyat yang lebih baik terhadapnya.

Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia itu berkata, Anwar sebaliknya mengutamakan usaha ‘meluruskan’ kembali pelbagai sektor dalam negara untuk meningkatkan ekonomi negara, supaya impaknya dapat dirasai rakyat secara menyeluruh.

"Jika beliau mahu menjadi seorang populis, beliau boleh sahaja membenarkan pengeluaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), atau mengotakan janji-janji ketika menjadi pembangkang sebelum ini seperti dibangkitkan ramai pihak seperti harga petrol atau terbaharu soal menaikkan gaji penjawat awam.

"Barangkali 100 hari ini lebih kepada fasa pengubahsuaian, bagaimana nak menstabilkan ekonomi dan juga kerajaan yang tertubuh dari pelbagai parti. Tambahan, beliau hadir ketika negara berdepan krisis politik yang tidak menentu, ekonomi gawat dan sektor kesihatan yang memerlukan pemerhatian,” katanya.

Perdana Menteri turut menubuhkan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 bagi menyelesaikan isu tertangguh berkaitan perjanjian itu dan memberi jaminan setiap perjanjian yang dimeterai bersama Sabah dan Sarawak termasuk MA63 harus ditepati serta ditunaikan.

Dalam hal ini penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, ia memberi signal yang baik menunjukkan bahawa Anwar seorang yang ‘walk the talk’ (melakukan apa yang dikatakan) dan telah dibuktikan beliau dalam masa yang singkat 100 hari ini.

"Beliau seorang yang jelas dengan pendiriannya dan beliau akan laksana dalam tempoh pentadbirannya, cuma soalnya sekarang hanya berapa lama tempoh implementasi yang akan diambil.

"Komitmennya kita dapat lihat. Dalam tempoh ini (100 hari) mungkin masih lagi masa untuk merancang, merangka, mengenal pasti, mencari penyelesaian terbaik dan tidak buat sesuatu yang hanya bersifat populis,” katanya.

Namun, di sebalik karektor tegasnya, isu kebajikan rakyat terutama soal kos sara hidup tetap menjadi keutamaan Anwar dan ia juga merupakan topik pertama dibawanya ke mesyuarat bersama pegawai kerajaan sebaik menjadi perdana menteri, sebelum pembentukan Kabinet lagi.

Malah arahan pertamanya sebagai perdana menteri ialah supaya syarikat Padiberas Nasional Berhad (Bernas) memperuntukkan RM50 juta tahun ini kepada pesawah padi, selain kemudiannya turut memperkenalkan antara lain pemberian Sumbangan Tunai Rahmah, pengekalan tarif elektrik dan kadar dasar semalaman (OPR) serta Menu Rahmah.

Manakala Bajet 2023 dengan cadangan peruntukan RM388.1 bilion yang baharu dibentangnya 24 Feb lepas, antara lain memperuntukkan RM750 juta bagi membantu kira-kira 130,000 rakyat tersusah tanpa mengira latar belakang kaum untuk keluar daripada belenggu kemiskinan.

Esok, genap 100 hari Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Seperti peribahasa ‘ular menyusur akar tidak hilang bisanya’, di sebalik perwatakan dan percakapannya yang serius, Anwar menunjukkan sisi ‘santai’ apabila beliau selalu tampil tanpa bertali leher.

Ia dilihat sebagai simbolik kepada ‘duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan rakyat’, malah imej itu diterapkan kepada semua Ahli Parlimen ketika persidangan Dewan Rakyat.

Dalam mendekati isu rakyat, beliau turut memperkenalkan Sesi Soal Jawab Perdana Menteri di Parlimen, iaitu soalan-soalan berkaitan rakyat boleh ditujukan terus oleh Ahli Parlimen kepadanya dan dijawabnya secara langsung.

Namun, setakat mana mengetepikan budaya bertali leher, dan kerangka kerajaan Malaysia MADANI ini yang diterapkan dengan sifat integriti tinggi, mampu mengukuhkan ekonomi negara sehingga kembali digelar Harimau Asia, turut bergantung kepada penerimaan rakyat untuk sama-sama menyokong inisiatif kerajaan.

Berdasarkan kajian dilakukan Merdeka Center menunjukkan 68 peratus rakyat Malaysia setakat ini berpuas hati dengan prestasi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui negara. - Bernama