Banjir: 3 hari terperangkap, mi segera dan biskut jadi alas perut

Lapan pekerja sebuah pasar raya di bandar Kota Tinggi yang diselamatkan anggota bomba pada Jumaat.
Lapan pekerja sebuah pasar raya di bandar Kota Tinggi yang diselamatkan anggota bomba pada Jumaat.
A
A
A

KOTA TINGGI - Lapan pekerja wanita yang tinggal di premis tingkat atas bangunan sebuah pasar raya terperangkap tiga hari setelah terkandas dalam kejadian banjir di bandar Kota Tinggi di sini sejak Rabu.

Pekerja pasar raya itu terpaksa menghubungi bomba untuk meminta bantuan selepas air Sungai Johor bersebelahan pusat bandar melimpah dan menyebabkan laluan terputus pada pagi Jumaat.

Kesemua mereka diselamatkan pasukan Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi menggunakan trak bomba.

Operasi menyelamat itu diketuai Pemangku Ketua Zon 2 Johor, Timbalan Penguasa Bomba II Tahrin Saat bersama lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi yang memasuki pusat bandar ditenggelami air bah sehingga hampir dua meter.

Fatin Anisah Che Anaf, 19, berkata, bekalan makanan seperti mi segera dan biskut menjadi penggalas perut ketika terkandas di dalam bilik sewa yang terletak di tingkat atas premis dua tingkat pasar raya.

"Air Sungai Johor melimpah malam tadi, menyebabkan kami semua ketakutan dan mahu segera keluar dari rumah sewa. Kami semua ambil keputusan untuk meminta bantuan bomba.

Keadaan banjir di bandar Kota Tinggi pada Jumaat. (Gambar kecil: Fatin Anisah dan Roziana.)
Keadaan banjir di bandar Kota Tinggi pada Jumaat. (Gambar kecil: Fatin Anisah dan Roziana.)

"Ibu bapa di kampung juga yang risau, saya sudah menghubungi mereka untuk meredakan kebimbangan mereka," katanya pada Jumaat.

Penyelia premis, Roziana Zaharuddin, 31, yang turut terperangkap tidak menyangka banjir kali ini akan menjejaskan kedainya.

Menurutnya, beliau dan pekerja sempat mengemas stok pakaian untuk diletakkan di tempat yang selamat dan lebih tinggi

"Melihat air bah semakin laju ke arah bangunan premis selain air Sungai Johor sudah melimpah tengah malam tadi, saya tidak mahu ambil risiko.

"Jika air Sungai Johor melimpah biasanya bah akan jadi lebih dalam, berarus dan amat merbahaya. Saya akhirnya menelefon talian kecemasan bagi memohon dipindahkan. Saya bersyukur kami semuanya berjaya dibawa keluar dan selamat," katanya.