Jumlah mangsa banjir Johor meningkat kepada 33,149 pagi ini

Keadaan banjir di Segamat. - Foto APM Segamat
Keadaan banjir di Segamat. - Foto APM Segamat
A
A
A

JOHOR BAHRU – Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat dengan daerah Segamat paling ramai iaitu 12,186 mangsa daripada 3,519 keluarga kini ditempatkan di 77 pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah berkenaan setakat jam 8 pagi, Jumaat.

Menurut laporan Setiausaha Kerajaan Negeri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, peningkatan disebabkan hujan berterusan sejak Khamis.

“Secara keseluruhannya, seramai 33,149 mangsa banjir daripada 9,354 keluarga kini berada di kesemua PPS di 10 daerah setakat jam 8 pagi ini.

“Jumlah ini menunjukkan peningkatan berbanding 31,865 mangsa daripada 8,964 keluarga berdasarkan laporan setakat jam 12 tengah malam tadi.

“Peningkatan ini juga menyaksikan sebanyak lapan lagi PPS dibuka menjadikan kesemuanya 217 PPS yang beroperasi di seluruh negeri ketika ini,” katanya.

Selain Segamat, sembilan lagi daerah di Johor turut mencatatkan peningkatan jumlah mangsa banjir seperti Kluang yang mencatatkan seramai 5,174 mangsa, Batu Pahat (4,340), Kota Tinggi (3,689), Muar (2,829), Tangkak (1,999), Johor Bahru (1,216), Mersing (722), Kulai (630) dan Pontian (364).

Dalam masa sama, tiga kematian berlaku setakat ini melibatkan seorang lelaki di Kluang pada 1 Mac dan dua lagi mangsa lemas di Segamat pada 2 Mac.

Selain itu, sumber daripada Jabatan Meteorologi Malaysia menyatakan hujan lebat berterusan dijangka berlaku di Johor melibatkan daerah Segamat, Kluang, Mersing, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

Bagaimanapun, tiada amaran ribut petir yang dikeluarkan setakat ini.

Misi menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Jawa Segamat turut dibantu oleh anggota APM dari Perak. - Foto APM Segamat
Misi menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Jawa Segamat turut dibantu oleh anggota APM dari Perak. - Foto APM Segamat

Sementara itu, aras air di beberapa sungai melibatkan Sungai Gemas, Sungai Muar, Sungai Lenik, Sungak Tangkak, Sungai Kesang, Sungai Bekok, Sungai Kahang dan Sungai Johor dilaporkan berada pada tahap bahaya apabila masing-masing mencatatkan peningkatan ketika ini.

Di Segamat, Sungai Muar Lubuk Kepong mencatatkan 21.23 meter (m) berbanding 18.60 sebelum ini, Sungai Muar di Kampung Awat (21.62 m daripada 19.95m), Sungai Muar di Buloh Kasap (9.81m daripada 9.14m), Sungai Segamat di Bandar Segamat (10.29m daripada 9.14m) dan Sungai Lenik di Ladang Chaah (6.83m daripada 6.00m).

Bagi daerah Muar, Sungai Muar di Bukit Kepong merekodkan peningkatan kepada 5.30m berbanding 3.30m sebelum ini manakala di Tangkak, Sungai Kesang di Kampung Seri Makmur (4.40m daripada 4.00m) dan Sungai Kesang di Teluk Rimba (4.35m daripada 3.50m).

Di Batu pahat, Sungai Batu Pahat di Empangan Bekok mencatatkan 20.15m berbanding 19.20m, Sungai Batu Pahat di Jalan Yong Peng (7.51 daripada 7.16m), Sungai Bekok di Bandar Yong Peng (3.40m daripada 2.74m) sementara di Sungai Endau, Kampung Contoh di Kluang mencatatkan 15.83m daripada 14.50m dan di Kota Tinggi, Sungai Johor di Rantau Panjang mencatatkan 10.32m daripada 9.80m.