Pelaburan Amazon: Malaysia dijangka saksi peningkatan lebih besar

Anwar ketika menyampaikan ucapan menerusi rakaman video di majlis AWS Malaysia Cloud Day pada Khamis. - Foto Bernama
Anwar ketika menyampaikan ucapan menerusi rakaman video di majlis AWS Malaysia Cloud Day pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia dijangka menyaksikan peningkatan yang lebih besar dalam transformasi digital dan kepercayaan digital di kalangan masyarakat, dipacu oleh pelaburan baharu daripada Amazon Web Services (AWS) bernilai RM25.5 bilion dalam tempoh 15 tahun untuk infrastruktur serantau baharunya di Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaburan teknologi antarabangsa terbesar setakat ini di dalam negara seterusnya akan membawa kepada inovasi dan pelaburan yang lebih signifikan di Malaysia, sekali gus mendorong negara untuk benar-benar menjadi pusat data dan hab digital Asia Tenggara untuk rantau ini.

"Dengan membawa akses kepada infrastruktur AWS yang bertaraf dunia, teknologi canggih dan program kemahiran digital termaju ke Malaysia akan membuka peluang untuk perniagaan tempatan membina dan berkembang ke peringkat global, memupuk tenaga kerja yang digerakkan secara digital, merangsang penciptaan pekerjaan dan menyediakan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

"Pengumuman hari ini adalah undi keyakinan dan sokongan terhadap kepimpinan Malaysia dalam ekonomi digital global, dan kita berharap dapat memperdalam kerjasama kita dengan AWS untuk memajukan cita-cita ekonomi digital negara kita," katanya ketika menyampaikan ucapan menerusi rakaman video di majlis AWS Malaysia Cloud Day di sini pada Khamis.

Anwar berkata, pelaburan itu juga akan memajukan wawasan Malaysia MADANI iaitu ekonomi berkemahiran tinggi, inovatif, inklusif dan mampan yang mana kekayaan dikongsi dengan lebih saksama.

"Hari ini, kita telah melihat sejumlah besar syarikat Malaysia - daripada syarikat pemula sehingga kepada perusahaan - mengubah perkhidmatan dan proses masing-masing dan menghasilkan inovasi yang lebih besar, pemprosesan data yang lebih selamat dan kos operasi yang lebih rendah dengan penyedia perkhidmatan Awan (Cloud) seperti AWS.

"Petronas adalah contoh terbaik bagaimana sebuah organisasi terkemuka Malaysia mempercepatkan perjalanan transformasi digitalnya dengan memanfaatkan kuasa awan untuk memodenkan ITnya, memacu operasi yang lebih pintar dan keputusan yang lebih pantas melalui pemahaman daripada analisis data, dan membina aplikasi digital baharu seperti Petronas SETEL untuk meningkatkan pengalaman pelanggan," katanya.

Perdana Menteri berkata, begitu juga dengan Silverlake Axis, sebuah syarikat kewangan dan teknologi kewangan (fintech) yang diasaskan di Malaysia, yang telah menggunakan AWS untuk mendigitalkan dan memodenkan 25 aplikasi yang membolehkan mereka menawarkan perkhidmatan yang lebih inovatif kepada pelanggan mereka.

Selain itu, beliau berkata, Pos Malaysia Bhd, dengan berhijrah menggunakan awan (Cloud), telah dapat mengemudi transformasi perniagaannya untuk mempelbagaikan melangkaui peruntukan tradisional penghantaran mel dan bungkusan untuk kini menawarkan runcit, logistik serta produk dan perkhidmatan inovatif lain.

Bagi syarikat-syarikat ini, Anwar berkata, Rantau AWS di Malaysia akan mempercepatkan lagi transformasi dan penciptaan perkhidmatan digital yang inovatif, menggunakan infrastruktur yang selamat, berprestasi tinggi, berdaya tahan dan dipercayai.

"AWS juga telah memeterai Perjanjian Rangka Kerja Awan (CFA) dengan kerajaan Malaysia, memberikan galakan kepada penggunaan awan dalam sektor awam dan membantu agensi menjimatkan kos, meningkatkan kemahiran digital dan memacu inovasi," katanya.

Sumbangan ekonomi digital kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) mencapai 23.2 peratus pada 2021.

"Matlamat kita ialah untuk meningkatkan sumbangan ekonomi digital kepada 25.5 peratus daripada KDNK Malaysia boleh dicapai dengan baik menjelang 2025. Ini mungkin melalui pelaburan sektor awam dan swasta dalam infrastruktur digital, modal insan, kapasiti perniagaan dan penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik," katanya.

Antara yang turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Datuk Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz. - Bernama