Mangsa banjir di Johor meningkat kepada 25,213 orang

Orang ramai meredah banjir di laluan utama ke Kampung Kelantan di Kota Tinggi pada Rabu. - Foto Bernama
Orang ramai meredah banjir di laluan utama ke Kampung Kelantan di Kota Tinggi pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jumlah mangsa banjir di Johor terus meningkat setakat jam 8 pagi Khamis dengan mencatatkan seramai 25,213 mangsa daripada 7,013 keluarga yang kini berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di kesemua 10 daerah di negeri ini.

Menurut laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), daerah Segamat mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan seramai 7,272 mangsa daripada 2,050 keluarga berada di 55 PPS.

“Selepas Segamat, daerah Kluang mencatatkan 5,426 mangsa diikuti Batu Pahat (3,236 mangsa), Kota Tinggi (2,912 mangsa), Johor Bahru (2,906 mangsa), Muar (1,667 mangsa), Kulai (952 mangsa), Tangkak (930 mangsa), Mersing (472 mangsa) dan Pontian (250 mangsa).

“Peningkatan mangsa banjir ini membuatkan 10 lagi PPS dibuka dan menjadikan secara keseluruhannya sebanyak 187 PPS yang beroperasi ketika ini.

“Ketika ini data bagi kesemua mangsa juga sedang dikemaskini oleh petugas-petugas di kesemua PPS berkenaan,” menurut laporan berkenaan.

Untuk rekod, setakat ini satu kematian dilaporkan berlaku di Kluang pada Rabu.

Sementara itu, berdasarkan laporan daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), tiada amaran ribut petir bagi negeri Johor.

Bagaimanapun, pihak MetMalaysia meramalkan hujan lebat berterusan di Johor sehingga 2 Mac dan fenomena hujan berterusan itu turut diklasifikasikan sebagai berbahaya.

Ikuti perkembangan terkini dan dapatkan info banjir di sini!