Usaha damai di Mindanao harus capai kejayaan - PM

Anwar berucap ketika mengadakan sidang media bersama pada lawatan rasmi ke Filipina di Istana Malacanang pada Rabu. - Foto Bernama
Anwar berucap ketika mengadakan sidang media bersama pada lawatan rasmi ke Filipina di Istana Malacanang pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

MANILA - [KEMAS KINI] Usaha mencapai kedamaian di Mindanao, yang terletak di selatan Filipina, harus berjaya kerana kegagalannya mampu menjejaskan bukan hanya negara itu dan Malaysia tetapi juga seluruh rantau ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau memuji Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr kerana mengorak langkah yang besar dalam usaha memastikan proses damai di Mindanao mencapai kejayaan.

"Adalah menjadi tugas kita (Malaysia) sebagai jiran yang baik untuk menyokong usaha ini, kita harus memanfaatkan semua kaedah dalam hubungan dua hala dan pelbagai hala untuk mencapainya.

"Proses damai (di Mindanao) ini harus berjaya kerana ia bukan sahaja mampu menjejaskan Filipina dan Malaysia tetapi juga seluruh rantau ini," katanya pada sidang akhbar bersama selepas mengadakan mesyuarat dua hala dengan Marcos di Istana Malacanang di sini.

Anwar tiba di Manila pada Rabu bagi memulakan lawatan rasmi dua hari, yang kelima ke negara ASEAN selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada akhir tahun lepas.

Terdahulu, Anwar diberikan sambutan rasmi di Istana Malacanang dan beliau turut memeriksa kawalan kehormat yang dibarisi 165 anggota Angkatan Tentera Filipina.

Mengiringi Perdana Menteri semasa lawatan rasmi itu ialah isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan beberapa anggota kabinet beliau.

Perdana Menteri juga berkata, Malaysia kekal komited untuk memainkan peranan yang konstruktif dalam proses damai di Mindanao.

"Malaysia juga akan terus menawarkan bantuan kepada masyarakat Bangsamoro dan pelbagai program pembinaan keupayaan termasuk menerusi Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP)," katanya.

Beliau berkata, terdapat peluang besar yang boleh diteroka oleh kedua-dua negara sekiranya usaha damai di Mindanao meraih kejayaan.

Anwar berkata, kedua-dua negara turut bersetuju untuk meneruskan Mesyuarat Suruhanjaya Bersama ke-8 yang akan diterajui Menteri Luar masing-masing tahun ini pada tarikh yang sesuai.

Perdana Menteri juga bercakap mengenai langkah mempererat silaturahim rakyat kedua-dua negara selain meneruskan pertukaran budaya dan pelancongan.

"Saya mengiktiraf peranan diaspora Filipina di Malaysia serta sumbangan mereka kepada ekonomi kedua-dua negara dan sebagai anggota pengasas ASEAN dan kawasan pertumbuhan ASEAN Timur iaitu Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina, hala tuju serantau Filipina dan Malaysia adalah berpaksikan ASEAN," katanya.

Menyentuh isu Laut China Selatan, Anwar berkata, beliau telah membincangkannya dengan Marcos dan berkongsi pandangan sama mengenai perkara itu.

"Memandangkan isu ini adalah rumit, kita harus mencuba dan melibatkan diri serta menyatakan pendirian di peringkat pelbagai hala antara ASEAN supaya kita mempunyai pendekatan yang komprehensif dan mencapai penyelesaian memuaskan bagi masalah yang sudah lama tertangguh ini," katanya.

Perdana Menteri turut meluahkan kebimbangan mengenai isu perbalahan di Myanmar yang masih tidak selesai sehingga turut menjejaskan Malaysia susulan jumlah pelarian yang ramai.

Beliau berkata, jumlah pelarian Myanmar di Malaysia telah melebihi 200,000 orang.

"Presiden Marcos telah mengulangi keperluan konsensus lima perkara namun saya menyarankan untuk meneroka kaedah baharu bagi memujuk junta Myanmar agar berusaha dan bekerjasama sebagai satu pasukan dalam ASEAN serta menyelesaikan isu yang tertangguh dan tidak boleh dianggap sebagai isu dalaman semata kerana ia menjejaskan keselamatan serta kesejahteraan rantau ini, " katanya. - Bernama